Khamis, 22 Mei 2008

Hargai masa cuti anak

BAWA anak ke kompleks beli-belah pada musim cuti sekolah bukan bermakna mengajar mereka membeli-belah semata-mata. Tetapi menggalakkan mereka menyertai pertandingan melukis, mewarna atau mencipta sesuatu di pusat beli-belah berkenaan bagi mencungkil bakat besar anak-anak.

“Cuti sekolah menguji kebolehan mereka dan mendorong mencapai kecemerlangan,” kata pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Nik Salida Suhaila Nik Salleh, mengulas cara terbaik memenuhi masa lapang anak waktu cuti sekolah.

Menurutnya, beriadah masa cuti sekolah antara aktiviti terbaik yang boleh dilakukan kebanyakan ibu bapa. Disebabkan kesibukan ibu bapa dengan rutin kerja harian, pengisian terbaik waktu cuti sekolah adalah dengan memanfaatkan masa senggang menerusi aktiviti berfaedah.

“Masa berkualiti harus direbut terutama bagi ibu bapa yang masing-masing bekerja. Bagi yang mampu mungkin boleh membawa anak-anak ke luar negara. Tapi bagi yang kurang mampu, mereka boleh membawa anak-anak mengenali negara sendiri melawat destinasi menarik dengan kos lebih murah.

“Ibu bapa juga boleh mengajak anak-anak bermain badminton bersama-sama. Jika membawa anak-anak ke pantai misalnya, anda boleh mengajak anak-anak bermain bola sepak pantai sebagai satu aktiviti sihat. Ini akan lebih mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga,” katanya.

Dia yang juga penceramah bebas menyarankan ibu bapa membawa anak-anak mengunjungi keluarga datuk mahupun nenek di kampung kerana cara itu mampu mengukuhkan institusi kekeluargaan.

“Jika anak-anak tak dibiasakan sejak kecil, rasa saling hormat antara cucu dengan datuk dan nenek mereka akan mengendur. Justeru, ia perlu terus disuburkan ketika cuti persekolahan.

“Anak-anak juga akan memanfaatkan cuti yang menggembirakan di samping meraih banyak pengalaman berguna,” katanya.

Lawatan ke tempat bersejarah seperti Muzium Negara, Muzium Kesenian Islam, Pusat Sains Negara dan Planetarium Negara juga boleh dijadikan sumber didikan bermakna dalam proses pembesaran anak-anak.

“Ia boleh mendedahkan anak-anak dengan ilmu pengetahuan. Secara tidak langsung apabila ada sukatan pelajaran berkaitan di sekolah, anak-anak ada pendedahan sejak awal.

“Banyak perkara boleh dilakukan ibu bapa jika mereka bijak merancang masa. Cadangan membawa anak-anak ke tempat kerja ibu bapa (sesuaikan dengan keadaan) secara tak langsung mendedahkan anak-anak kepada bidang tugas ibu bapa mereka,” katanya.

Nik Salida Suhaila turut mencadangkan ibu bapa membawa anak-anak menaiki pengangkutan awam seperti kereta api, aliran transit ringan, komuter, bas mahupun teksi jika berpeluang berbuat demikian.

Untuk mengelak pembaziran masa, anak-anak juga boleh diajar mendalami al-Quran dengan lebih kerap untuk memantapkan bacaan mereka.

“Mungkin masa bersekolah, mereka tidak cukup masa untuk mempelajari selok-belok al-Quran secara mendalam misalnya mempelajari cara berlagu atau tarrannum. Ia amat sesuai dipelajari secara mendalam ketika cuti sekolah sekali gus memantapkan pengetahuan mereka.

“Jangan paksa anak-anak belajar 12 jam waktu cuti sekolah sepertimana di sekolah kerana ia boleh membosankan mereka. Jika terlalu tegas, anak-anak akan tertekan dengan cara kita mendidik.

“Cara ibu bapa biarlah lebih berhemah, penuh kasih sayang dan prihatin kerana sikap memaksa tak menghasilkan sesuatu yang terbaik.

“Jika cuti sekolah mampu dimanfaatkan sebaik mungkin, barangkali cuti sekolah yang bakal menjelang ini lebih bermakna buat seisi keluarga,” katanya.

Luang lebih masa bersama anak

ADA yang bertanya mengapa wujudnya istilah 'jiwa kosong' dalam diri anak? Apakah ibu bapa terlalu menumpukan perhatian mengejar kebendaan sehingga mengabaikan anak?

Ada pihak menyalahkan bapa yang terlalu tegas atau garang sehingga anak tiada masa menikmati zaman kanak-kanak.

Bagi ibu bapa bekerja, mereka hanya mempunyai lima hingga 10 minit berkomunikasi dengan anak. Bakinya, apabila ibu bapa pulang ke rumah, anak masuk ke bilik masing-masing.

Anak pula terperap di bilik dan tidak berlaku proses komunikasi antara ayah dengan anak. Ini menyebabkan hubungan antara anak dengan ibu bapa semakin renggang.

Apabila kemesraan tiada, senang bagi anak mencari rakan sebaya di luar sehingga mengundang pelbagai masalah lain.

Perunding motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, berkata apabila ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya, anak akan mencari jalan keluar mengisi kesepian bertemu rakan atau mencari hiburan lain menghilangkan kebosanan.

"Corak pembelajaran hari ini yang terlalu menekankan kejayaan akademik menyebabkan ibu bapa terpaksa mencatur kehidupan anak dengan rutin harian yang membebankan.

"Di sekolah, mereka belajar hingga lewat petang di samping menyiapkan kerja sekolah yang banyak.

"Anak juga terbabit dengan kegiatan kokurikulum menyebabkan mereka tiada masa menikmati zaman kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata, ada ibu mungkin berkata pada anak sulung dan adiknya: "Abang, emak tak nak kamu balik lambat. Kakak, emak tak mahu tengok kamu asyik bergayut di telefon."

"Itu bukan komunikasi tetapi lebih kepada arahan, syarahan atau sindiran. Ibu bapa harus menilai semula apa itu komunikasi.

"Proses komunikasi gagal kerana ramai yang tidak memahami konsep itu. Apabila anak meluahkan perasaan, ibu bapa sepatutnya menjadi pendengar yang baik," katanya.

Kebanyakan anak pula memerlukan ibu bapa ketika mereka menghadapi masalah manakala pada saat gembira, mereka lupa ibu bapa. Fenomena berkenaan proses biasa dalam perkembangan diri anak.

Bahkan katanya, ada kalanya ibu bapa diuji dengan kerenah dan kepelbagaian tingkah laku anak yang kadangkala memeningkan kepala.

"Mungkin Allah mahu menyedarkan kita yang sudah lama tidak 'mendekati-Nya'.

"Kalau sebelum ini solat pun jarang-jarang, kini ibu bapa kena lebih bermuhasabah diri. Sebagai manusia biasa, ujian ini boleh meningkatkan tahap keimanan diri.

"Nabi Noh diuji Allah dengan keingkaran anak dan isterinya yang tidak mahu mengikutinya menaiki bahtera apatah lagi kita manusia biasa," katanya.

Dr Tengku Asmadi menyarankan anak sentiasa dibekalkan dengan motivasi dalam membentuk sahsiah diri yang sempurna di samping jati diri yang kuat supaya jiwa mereka tidak rapuh.

Ibu bapa jangan terlalu menekankan anak untuk menjadi yang terbaik atau cemerlang jika tahap pencapaian mereka tidak sehebat mana.

"Timbul masalah apabila ibu bapa terlalu teruja untuk melihat anak jadi cemerlang, ia memberi kesan yang tidak baik pada mereka.

"Jika tahu tahap kemampuan anak amat rendah, alihkan minatnya ke arah lain supaya mereka turut diberi peluang membina keyakinan diri.

"Ertinya, jika anak tidak cemerlang dari sudut akademik, dia masih boleh berjaya dalam aspek lain. Sikap mendesak merugikan masa depan mereka kerana bukan semua anak mempunyai kecerdasan yang tinggi," katanya.

Kajian Universiti California, Amerika Syarikat mendapati ibu bapa yang mempunyai masa lebih banyak dengan anak akan membuatkan anak-anak lebih banyak melakar kecemerlangan.

"Ia berbeza dengan mereka yang tiada masa bersama anak. Anak lebih terjebak dalam gejala sosial, kemerosotan dalam pelajaran di samping terbabit dengan aktiviti kurang sihat," katanya.

Beliau mencadangkan ibu bapa menjalankan aktiviti bersama seperti bermain boling atau permainan lain yang boleh menggembirakan semua.

"Mereka juga boleh makan malam atau melancong bersama. Ibu bapa juga seharusnya menanam kepercayaan terhadap anak-anak dalam sesetengah perkara. Mungkin itu antara cara mempercepatkan proses kematangan mereka.

"Selain itu, hendaklah mendidik anak mengikut zamannya dan bukan zaman ibu bapa dulu," katanya.

Ajar kenal makanan halal, haram

MAKANAN membentuk darah daging. Kata-kata itu biasa didengari lantas sumber makanan perlu diselidiki supaya diketahui status halal atau haramnya.

Tidak dinafikan makanan adalah keperluan jasmani yang harus dipenuhi. Halal dan baik adalah syarat utama saat menghidang makanan untuk umat Islam.

Justeru, mengetahui makanan halal sangat penting, tidak hanya kepada orang tua yang berkewajipan menyediakan makanan untuk anak-anak, malah anak-anak perlu dididik untuk mengetahui halal haram sesuatu makanan.

Bagaimana mengenalkan makanan halal dan haram kepada anak-anak? Bimbingan berikut boleh dijadikan panduan:

  • Mengenalkan label halal.

  • Perkenalkan makanan yang sudah mendapatkan pengesahan halal, bermula dengan makanan ringan.

    Label bertulisan jawi halal lazimnya ditampal pada dinding premis, namun perlu diperhatikan tarikh yang tercatat pada sijil halal berkenaan.

  • Mengenalkan kandungan makanan.


  • Ajar anak-anak untuk mengamati setiap kandungan makanan yang tertera pada bungkusan atau bekas makanan. Jika di dalamnya mengandungi bahan yang meragukan seperti gelatin, pastikan ia daripada sumber halal.

    Gelatin biasanya ada pada makanan yang lembut dan sedikit kenyal seperti jeli, aiskrim dan puding. Tiga jenis makanan ini termasuk makanan kegemaran anak-anak oleh itu, penting memberitahu mereka mengenai kandungannya supaya anak-anak terdidik untuk berhati-hati sebelum memilih makakan.

  • Memperlihatkan poster barangan haram. Poster antidadah misalnya, boleh dilihat di mana-mana malah di jalan raya.


  • Gunakan saluran itu untuk memperkenalkan kepada anak makanan yang haram seperti kandungan dadah atau alkohol serta pelbagai bahaya akibat makanan haram itu.

  • Menunjukkan makanan yang haram ketika berbelanja.


  • Apabila berbelanja di pasar atau pasar raya bersama anak-anak, tunjukkan pada mereka makanan atau minuman yang tidak seharusnya diambil oleh umat Islam.

    Ibu bapa boleh menunjukkan kepada anak-anak contoh minuman beralkohol yang haram diminum, kebiasaannya dijual di pasar raya besar supaya mereka mulai berwaspada sejak kecil.

  • Mengunjungi pameran produk halal.


  • Jika ada kesempatan, ajak anak-anak mengunjungi pameran produk halal. Di ruang pameran, disajikan makanan dan minuman yang sudah mendapat sijil halal. Anak akan menjadi lebih berpengetahuan, malah menyedari bahawa banyak produk makanan halal yang boleh mereka nikmati.

  • Halal dari segi memperoleh makanan.


  • Penting untuk mendidik anak bahawa makanan yang halal tidak hanya dilihat daripada zatnya saja, tetapi cara memperolehnya.

    Makanan yang zatnya halal, tetapi diperoleh dengan cara haram, tetap menjadi haram.

    Mendidik anak mendapatkan rezeki dengan cara halal juga boleh menyemai nilai dan cara hidup yang baik.

  • Mengenalkan makanan halal melalui kegiatan makan bersama.


  • Makan bersama juga boleh dijadikan cara memperkenalkan makanan halal kepada anak-anak. Tanamkan rasa syukur dengan makanan yang sudah tersedia, sekali gus mendidik mereka mengenai adab makan dan minum.

    Kesilapan ibu bapa didik anak

    PERNAHKAH terfikir bahawa sebagai orang tua, banyak perkara yang anda lakukan salah dalam mendidik anak-anak?

    Pakar motivasi dan psikiatri sering mencari punca mengapa anak-anak menjadi liar, tidak mendengar kata, melawan orang tua dan pelbagai salah laku oleh segelintir anak-anak terhadap kedua ibu bapa mereka.

    Dalam mendidik anak, mungkin cara ibu bapa salah. Dalam proses tumbesarannya, anak-anak pasti melalui pelbagai perkara yang mungkin boleh membuat mereka terdorong melakukan sesuatu di luar jangkaan.

    Apabila melihat kelakuan anak-anak itu, semestinya ia dikaitkan dengan cara didikan ibu bapa.

    Justeru, mari kita selidik kesilapan ibu bapa sehingga menyebabkan kesan negatif anak-anak. Antaranya:

    1. Pemilihan jodoh tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.

    2. Perhubungan suami isteri tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.

    3. Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak.

    4. Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak.

    5. Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disajikan kepada anak-anak.

    6. Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan.

    7. Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan.

    8. Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak.

    9. Kurang melahirkan kasih sayang.

    10. Sering mengeluh di hadapan anak-anak.

    11. Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi dan pulang dari sekolah.

    12. Tidak mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan.

    13. Tidak memberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak.

    14. Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak.

    15. Tidak memprogramkan masa rehat dan riadah anak-anak.

    16. Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca.

    17. Mengizinkan anak-anak menjamah makanan dan minuman yang tidak halal.

    18. Tidak menunjukkan contoh teladan yang baik di hadapan anak-anak.

    19. Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak.

    20. Terdapat jurang komunikasi di antara ibu bapa dengan anak-anak.

    21. Tidak menggunakan bahasa yang betul.

    22. Suka bertengkar di hadapan anak-anak.

    23. Sentiasa menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak.

    24. Tidak membimbing anak-anak supaya mematuhi syariat.

    25. Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak.

    26. Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak.

    27. Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak.

    28. Tidak menunjukkan minat terhadap aktiviti anak-anak.

    29. Tidak memupuk semangat membaca di kalangan anak-anak.

    30. Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak.

    31. Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak.

    32. Lambat memberi penghargaan kepada anak-anak.

    33. Kerap meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan anak-anak.

    34. Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

    35. Sering mengancam dan menakutkan anak-anak.

    36. Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan.

    37. Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman ke atas anak-anak.

    38. Memberi nasihat yang sama kepada anak-anak.

    39. Tidak tegas mendidik anak-anak.

    40. Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama.

    Paparan laptop jadi kabur

    SOAL JAWAB IT bersama Bakhtiar Abdul Hamid

    SOALAN
    Saya ada satu permasalahan mengenai Windows, saya pernah membawa komputer laptop ke dewan kuliah dan menyambungkannya ke sambungan pemapar LCD di dewan itu.

    Apa yang terjadi selepas sambungan itu, paparan Windows laptop saya menjadi kabur dan ikon-ikonnya nampak lebih besar daripada biasa.

    Selepas dimatikan dan dihidupkan semula laptop itu, ia masih dalam keadaan yang sama.

    Banyak teknik sudah digunakan untuk memperbaikinya seperti masuk pergi ke ‘graphic properties’ (klik kanan di desktop) untuk mengubah warna di ‘colour correction’. Tapi, Windows saya masih kabur dan tidak seperti biasa.

    Faktor itu menjejaskan ‘mood’ saya membuat tugasan dan diharap tuan dapat membantu menyelesaikan masalah ini.

    Siti Nuraisah


    JAWAPAN

    Berdasarkan penjelasan anda itu, besar kemungkinan resolusi skrin sudah ditukar secara tidak sengaja.

    Untuk mendapatkan semula ketetapan asal atau meninggikan resolusi skrin anda itu, cuba langkah berikut:

    - klik kanan di Desktop > Properties

    - klik Settings

    - pilih resolusi tertinggi yang anda dapati di paparan "Screen resolution"

    - klik OK dan OK sekali lagi jika semuanya berjalan lancar.

    Beza antara hab, suis dan router

    SOAL JAWAB IT bersama Bakhtiar Abdul Hamid

    Saya ada satu persoalan yang memeningkan kepala hingga sekarang iaitu mengenai perbezaan di antara hab, suis dan router.

    Jika dilihat dengan mata kasar, ia kelihatan sama, tapi memiliki fungsi berbeza.


    Saya berharap tuan dapat menghuraikan mengenai perbezaan, fungsi dan cara penggunaan ketiga-tiga alat utama untuk sistem rangkaian dan Internet itu.



    Khairul Amiruddin




    Ramai orang keliru dengan ketiga-tiga peralatan yang anda sebutkan itu kerana dari segi reka bentuk memang nampak sama, tapi hakikatnya ia memiliki nama dan fungsi berbeza.

    Biasanya hab digunakan untuk menyambungkan 'segmen-segmen' di dalam sistem rangkaian. Ia memiliki banyak pelabuh dan isyarat akan disalurkan ke setiap pelabuh itu.

    Lebar lajur akan dikongsi bersama di antara pelabuh-pelabuh itu dan ia beroperasi di lapisan pertama (Layer 1) atau lapisan fizikal di dalam model rujukan Antarapenyambungan Sistem Terbuka (OSI).

    Suis pula digunakan untuk memperluaskan atau menyambungkan 'segmen' di dalam rangkaian.

    Sebuah suis memiliki banyak pelabuh, tapi 'kerangka-kerangka' dipanjangkan ke pelabuh yang sudah ditentukan.

    Setiap pelabuh mempunyai lebar lajur sendiri dan ia beroperasi di lapisan kedua (Layer 2) di dalam model rujukan OSI.

    Sementara router pula digunakan untuk menghubungkan dua atau lebih rangkaian dan subrangkaian.

    Sesebuah router mempunyai beberapa pelabuh dan paket akan disalurkan ke sistem rangkaian yang ditentukan. Router beroperasi di Lapisan ketiga (Layer 3) model rujukan OSI.

    Untuk memudahkan pemahaman anda, lihat gambarajah contoh rangkaian ethernet di bawah:

    Merujuk gambarajah itu, komputer yang disambungkan ke hab (H1 dan H2) akan mendapat isyarat secara terus ke komputer lain disebabkan penggunaan lebar lajur.

    Komputer yang terhubung kepada suis hanya akan mendapat kerangka yang hanya dikhususkan untuknya.

    Dalam pada itu, komputer yang terhubung kepada suis akan menghantar isyarat ke komputer terhubung ke hab yang membawa makna bahawa semua komputer yang terhubung ke hab yang sama akan mendapat isyarat itu juga.

    Namun begitu, komputer yang terhubung ke hab menghantar kerangka ke komputer yang terhubung ke suis, hanya komputer yang ditentukan saja akan mendapat kerangka itu.

    Router yang menghubungkan dua rangkaian akan menghalakan paket-paket di antara keduanya.

    Bagaimanapun, sekarang sudah ada peranti yang memiliki fungsi bagi kedua-dua suis dan router hingga menyebabkan untuk membezakannya lebih sukar.

    Misalnya, kebanyakan modem ADSL yang dilengkapi beberapa pelabuh adalah router dan suis atau hab.

    Ia menjadi router disebabkan keupayaannya menghubungkan rangkaian anda dengan rangkaian penyedia perkhidmatan Internet (ISP) dan ia menjadi hab atau suia apabila memiliki beberapa pelabuh yang menghubungkannya ke segmen lain di dalam sistem rangkaian setempat (LAN) anda.

    Tingkat upaya PC lama

    SOAL JAWAB IT bersama Bakhtiar Abdul Hamid

    SOALAN
    Ingin bertanyakan kepada saudara mengenai PC laptop yang saya miliki sama ada ia boleh ditingkatkan keupayaannya atau tidak.

    Laptop saya itu beroperasi di atas platform sistem operasi Windows 2000, dikuasai oleh cip pemproses Intel Pentium III 751MHz, memori RAM 128MB dan cakera keras 20GB.

    Bolehkah saya menggantikan cip pemproses itu atau menambah kapasiti RAM sekurang-kurangnya untuk mendapatkan prestasi lebih baik?

    Jai Faizal


    JAWAPAN

    Semuanya bergantung kepada jenis buatan dan model laptop yang anda miliki itu. Biasanya tidak mudah untuk menggantikan papan induk laptop berbanding komputer desktop, lebih-lebih lagi laptop model lama.

    Jika tidak boleh menggantikan papan induk, tapi anda masih boleh cuba menambah kapasiti RAM.

    Faktor itu membolehkan laptop anda mendapat jangka hayat lebih lama, lebih-lebih lagi sekiranya ia digunakan untuk automasi tugasan pejabat.

    Beza Quick Format dengan Full Format

    SOAL JAWAB IT bersama Bakhtiar Abdul Hamid


    SOALAN

    1. MENGAPA sesebuah pemacu cakera keras itu lebih baik diformat menggunakan Quick Format kerana sistem operasi (OS) komputer peribadi (PC) lama saya lebih mudah mengalami kerosakan apabila diformat menggunakan Full Format. Sebaliknya tidak ada apa-apa berlaku jika saya format menggunakan Quick Format. Tapi tiada masalah pada PC baru yang diformat menggunakan Full Format.


    2. Apa perbezaan di antara kedua-dua jenis format di atas dan kesannya kepada pemacu cakera keras?

    3. Apakah kesan yang berlaku dari segi jangka hayat kepada pemacu cakera keras jika diformat dengan kedua-dua kaedah di atas?

    Diharap pihak tuan dapat membantu saya menjelaskan pemasalahan ini kerana cakera keras yang pernah saya gunakan rosak dan kini sudah menunjukkan tanda-tanda untuk rosak kembali.

    Muhammad Rahmat


    JAWAPAN


    APABILA kita membuat Full Format, semua data akan dibuang dan imbasan akan dilakukan ke atas sektor yang rosak.

    Ia akan memastikan data tidak akan ditulis di atas sektor yang rosak. Bagaimanapun, imbasan sektor rosak itu akan mengambil masa.

    Quick Format akan membuang data, tetapi tidak mengimbas sektor yang rosak. Sebab itulah ia dilakukan dengan pantas.

    Jika ada sektor rosak dan tidak pula diimbas, kemungkinan itulah sebabnya masalah anda berulang kembali.

    Sekiranya anda seorang yang kurang sabar, lakukan Quick Format tapi apabila selesai, lancarkan ‘scandisk’ untuk mengimbas sektor rosak. Ketika scandisk beroperasi, anda bolehlah pergi membuat kerja lain seperti menonton TV atau makan malam.

    Masalah router tidak berfungsi

    SOAL JAWAB IT bersama Bakhtiar Abdul Hamid

    SOALAN

    SAYA mempunyai router tanpa wayar jenama D-Link model DWL-G122rev.C. Masalahnya ialah kegagalan saya untuk menggunakan router itu dalam persekitaran Ubuntu.


    Adakah cara lain untuk membolehkan saya menggunakannya dalam Ubuntu?

    Derek Chui
    izgt.one@gmail.com


    JAWAPAN


    SESETENGAH pengeluar perkakasan tidak menyediakan perisian pemacu atau dokumentasi bersama dengan perkakasan yang dibekalkan kepada komuniti sistem terbuka.

    Oleh sebab itulah, ada antaranya tidak boleh digunakan. Bagaimanapun, lama kelamaan saya pasti ada pemacu tertentu yang menyokongnya.

    D-Link DWL-G122rev C menggunakan set cip RALink 73 dan ia menyokong persekitaran Ubuntu versi terkini.

    Anda perlu mengemaskinikan Ubuntu kepada versi terkini untuk membolehkannya menyokong perkakasan itu terus dari kotak.

    Dalam pada itu, anda boleh memasang perisian pemacu itu secara manual. Dapatkan di http:// ubuntuforums.org/showthread.php?p=4732883#post4732883 dan dapatkan cara untuk memasang secara manual.

    Kapur Penanggal Kutil

    Satu camca teh kapur dicampur dengan sedikit belerang dan perahan jus limau nipis dibancuh bersama untuk dijadikan krim. Sapukan bancuhan tersebut pada kutil dan ulanginya beberapa kali sehingga kutil tertanggal dengan sendirinya.

    Tauhu Cantik Selepas Digoreng

    Tidak semua orang akan mendapat tauhu cantik selepas digoreng. Untuk mengekalkan rupa tauhu ini, taburkan sedikit garam halus kedalam minyak yang betul-betul panas sebelum menggoreng tauhu.

    Hasilnya, tauhu tidak melekat dan minyak yang digunakan masih elok jika mahu menggunakannya semula bagi menggoreng ayam atau ikan.

    Serunding Ikan Kuah Laksa

    Kuah laksa yang berlebihan tentu sayang dibuang. Anda boleh menapis kuah laksa untuk mengumpul isi ikan. Gorenglah menggunakan dua camca minyak hingga kering untuk dijadikan serunding. Sedap dan tidak membazir.

    Serunding Ikan Kuah Laksa

    Kuah laksa yang berlebihan tentu sayang dibuang. Anda boleh menapis kuah laksa untuk mengumpul isi ikan. Gorenglah menggunakan dua camca minyak hingga kering untuk dijadikan serunding. Sedap dan tidak membazir.

    Cengkih Penawar Sakit Gigi

    Sekiranya anda mengalami sakit gigi, gigit tiga kuntum bunga cengkih pada tempat yang sakit. Kalau gigi berlubang, ketuk cengkih dan isi didalam lubang gigi anda dan tutup dengan kapas. Insyaallah berkesan.

    Khasiat Kacang Tanah

    Kacang tanah mengandungi protin yang tinggi, zat besi, vitamin E dan kalsium, vitamin B kompleks dan Fosforus. Kacang tanah sering disalah anggap sebagai penyebab tumbuhnya jerawat, malah kandungan protin dalam kacang tanah adalah jauh lebih tinggi dari dagaging, telur dan kacang soya. Ia juga mengandungi amino asid yang tinggi. Minyak dari kacang tanah adalah sumber terbaik pencuci perut. Bagi menambah kandungan susu badan bagi ibu yang menyusukan bayinya, digalak mengambil kacang tanah yang dipanggang bersama susu kambing.

    Kacang tanah juga dikatakan mengandungi bahan yang dapat membina ketahanan tubuh bagi menentang penyakit batuk kering. Mengambil satu auns kacang tanah lima kali seminggu dilaporkan dapat mencegah penyakit jantung. Memakan segenggam kacang tanah setiap hari terutama pesakit kencing manis dapat membantu kekurangan zat.

    Petua Mencuci Hati

    Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu, dibawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati, diolah oleh pakar motivasi Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah.

    1. Dirikan solat dan banyakkan berdo’a - Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo’a turut katakan: “Ya Allah, jadikan hatiku
    bersih.”

    2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100X sebelum tidur. Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa di-ampunkan, otak tenang,murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

    3. Solat taubat - Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

    4. Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah “Qulhu-allah” sebanyak 3X..

    5. Berma’af-ma’afan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan.

    6. Bisikan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. Katakan lah: “Aku sebenarnya……(perkara yang elok2 belaka).

    7. Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata. Katakan didalam hati: “Ya Allah, cuci otak aku, cuci hatiku. Esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif.” Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya - CUBALAH!!).

    8. Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa, terhindar dari melakukan perkara2 kejahatan.

    9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila2 masa).

    10. Kekalkan wuduk.

    11. Bersedekah.

    12. Belanja orang makan.

    13. Jaga makanan - jangan makan makanan yang subhat (was2, tidak pasti halal atau tidak).

    14. Berkawan dengan ulama.

    15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi).

    16. Pesan pada orang, jadi baik.

    17. Menjaga pancaindera (mata, telinga, mulut… dsb). Jangan dengar orang mengumpat.

    “Sampaikanlah pesanan ini walaupun 1 ayat.”

    Jintan Hitam

    Selain dari menjadi bahan rempah masakan, Jintan Hitam juga banyak khasiatnya bagi kesihatan. Jintan Hitam selain dari meningkatkan fungsi sistem ketahanan diri ia juga boleh mengurang masalah asma, menghalang pembentukan sel-sel tumor dan mengandungi sifat anti-radang yang dapat mengurangi artiritis.

    Untuk mengelak kembung perut pada bayi yang baru lahir, bungkus bijian jintan hitam dalam bungkusan kain jarang yang di ikat. Bungkusan itu kemudian di ganggang di atas api buat seketika , sehingga kehangat-hangatan, digunakan untuk menuam bahagian perut dan betis bayi. Ulangi proses ini selama 40 hari setiap kali selepas mandi. Cara ini dipercayai dapat menahan angina dan mengurangkan masalah kembung perut pada bayi.

    Khasiat Inai

    Daun inai dipercayai amat baik selaku bahan penyejuk. Selalunya daun inai digunakan untuk menyembuh sakit perut, luka dan kudis disekeliling kuku dan mengatasi masalah keguguran rambut. Ia juga boleh digunakan bagi merawat masalah haid wanita dan keputihan.

    Serbuk inai atau daun inai yang dilumatkan digunakan bagi menyembuh penyakit kulit, bisul dan sengal tulang. Jus inai dugunakan bagi melegakan sakit kepala akibat cuaca panas. Sementara akarnya diguna untuk menyembuh bisul. Kulit dari batang pokok inai digunakan untuk meredakan cirit birit dan merawat masalah hati atau demam kuning serta bengkak hati.


    Orang India menggunakan air inai sebagai penyegar untuk mengecutkan tisu-tisu badan dan seterusnya mengurangkan pendarahan berlebihan. Mereka juga percaya bahawa dengan berkumur air inai dapat melegakan sakit tekak.

    Untuk mengubati luka dan kudis disekeliling kuku, bersihkan dan tumbukkan daun inai sehingga lumat dan disapukan dibahagian yang sakit itu. Insyallah sakit akan berkurangan, bengkak dan kelurut akan dapat dielakkan.

    Buah Pala Legakan Sakit Kepala

    Buah pala yang dikeringkan, diasah atau ditumbuk halus dan dicampurkan dengan beberapa titisan air putih atau air mawar, bagi menambah kesegaran. Sapukan campuran itu di dahi atau dibelakang leher. Biarkan seketika sehingga kering. Ketika menyapu campuran itu hendaklah berhati-hati kerana ia agak pedih atau pedas. Jangan sapu terlalu banyak ditakuti kulit akan menjadi sensitive.

    Biarkan sapuan itu kering anda akan rasa berangin dan pedih atau pedas sebentar biarkan seketika dan rehat.

    Akan terasa juga kesannya, terutama apabila sakit kepala itu agak berdenyut. Perlu di ingat, apabila menggunakan petua ini jangan disapu berkali-kali dan hentikan sebaik sahaja rasa pening kepala terasa pulih, kerana ia boleh merusak kulit akibat rasa pedas buah pala.

    HIKMAH BERWUDUK

    Ketika
    1. berkumur
    Niat
    "Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini".
    Penjelasan
    Kita hari-hari bercakap benda-benda yang tak berfaedah.

    Ketika
    2. membasuh muka
    Niat
    "Ya Allah, putihkanlah muka ku di akhirat kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini".
    Penjelasan
    Ahli syurga mukanya putih berseri-seri.

    Ketika
    3. membasuh tangan kanan
    Niat
    "Ya Allah, berikanlah hisab-hisab ku ditangan kanan ku ini".
    Penjelasan
    Ahli syurga diberikan hisab- hisabnya di tangan kanan .

    Ketika
    4. membasuh tangan kiri
    Niat
    "Ya Allah, janganlah Kau berikan hisab- hisab ku di tangan kiri ku ini".
    Penjelasan
    Ahli neraka diberikan hisab- hisabnya di tangan kiri .

    Ketika
    5. membasuh kepala
    Niat
    "Ya Allah, lindunganlah daku dari terik matahari di padang Masyar dengan Arasy Mu".
    Penjelasan
    Panas di Padang Masyar macam matahari sejengkal di atas kepala.

    Ketika
    6. membasuh telinga
    Niat
    "Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini".
    Penjelasan
    Hari-hari mendengar orang mengumpat, memfitnah dll.

    Ketika
    7. membasuh kaki kanan
    Niat
    "Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqqim".
    Penjelasan
    Ahli syurga melintasi titian dengan pantas sekali.

    Ketika
    8. membasuh kaki kiri
    Niat
    "Ya, Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat-tempat
    maksiat".
    Penjelasan
    Qada' dan Qadar kita di tangan Allah.

    Ramai di antara kita yang tidak sedar akan hakikat bahawa setiap yang dituntut dalam Islam mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Pernah kita terfikir mengapa kita mengambil wuduk sedemikian rupa? Pernah kita terfikir segala hikmah yang kita perolehi dalam menghayati Islam?


    Wallahualam..

    Sabtu, 17 Mei 2008

    Fitnah rosakkan ukhuwah


    SATU sikap yang merosakkan persaudaraan dan perpaduan umat Islam ialah ‘suka membawa mulut’, mereka-reka serta menambah cerita buruk, malah melaga-lagakan orang se hingga kisah yang pendek menjadi panjang.

    Ia juga disebut menabur fitnah atau ‘namimah’ iaitu men ceritakan keburukan orang di khalayak ramai dengan tujuan menimbulkan kebencian dan permusuhan terhadapnya.


    Kesan daripada perbuatan itu bukan hanya merugikan seorang dua, malah menyebabkan hilangnya perasaan kasih sayang, hormat dan kepercayaan di kalangan masyarakat, sehingga runtuh segala sendi kebahagiaan hidup berma syarakat.

    Sikap seperti itu sangat tercela. Ia satu daripada perbuatan dosa besar yang akan mendapat ancaman seksa amat berat di hari pembalasan kelak.

    Antara faktor yang menimbulkan fitnah ialah dorongan perasaan iri hati atau dengki terhadap orang lain, ditambah kekurangan iman dan tiada kefahaman mengenai larangan dan kemurkaan Allah, malah hati dan jiwa seseorang yang kotor, lemah tahap pemikirannya dan sukar menerima kebenaran.

    “Adapun orang yang berpenyakit dalam hati mereka, maka surah itu menambahkan kekotoran pada kekotoran yang sedia ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.” (at-Taubah:125)

    Faktor lain yang mendesak seseorang melakukan fitnah kepada saudaranya ialah kerana ingin mendapatkan kuasa, pengaruh serta kepercayaan orang terhadap diri dan dak waannya, malah ingin menunjukkan dirinya seorang yang lebih baik daripada saudaranya itu.

    Islam menasihati umatnya agar melindungi rahsia sau daranya, bukan sengaja mencari kelemahan dan membuka aibnya kepada khalayak, kerana dengan tindakan itu boleh menjatuhkan maruahnya.

    Rasulullah s.a.w menegaskan, menyelidiki rahsia dan mem fitnah orang lain yang baik, termasuk ciri orang munafik yang mengaku beriman dengan lidahnya, sedangkan hatinya benci. Mereka di hari kiamat akan dibebani dengan dosa besar di depan Allah.

    Hari ini medan menabur fitnah terlalu banyak. Dengan perkembangan teknologi, semakin mudah pula mengadakan berita palsu, fitnah dan segala celaan, dengan cepat tersebar ke seluruh ceruk rantau.

    Cukup dengan memasukkannya ke dalam Internet atau blog, semudah itulah manusia berbuat dosa dan semudah itu juga umat Islam boleh bersatu dan berpecah belah.

    Bagi Muslim sepatutnya perlu bertanggungjawab atas apa yang ditulis, diucap dan disebar, bukannya menulis, bercakap dan menyebarkan berita mengikut sesedap hati tanpa di selidiki, kerana semua itu akan ditanya Allah.

    “Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak ketahui; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan.” (al-Isra:36)

    Orang yang menyebarkan fitnah nanti di dalam kubur akan diseksa Allah. Perkara ini dapat dibuktikan melalui kisah yang diceritakan Rasulullah s.a.w.

    Suatu ketika Rasulullah s.a.w melalui dua kubur lalu baginda bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya penghuni dua kubur ini diseksa. Keduanya tidak diseksa kerana dosa besar. Adapun seorang daripadanya tidak bersuci daripada ken cingnya dan yang satu lagi suka memfitnah.

    Kemudian Rasulullah s.a.w mengambil pelepah kurma yang basah dan memotong dua, lalu dipacakkan pada kedua-dua kubur terbabit sambil berdoa: “Semoga Allah meringankan seksaan atas keduanya.”

    Allah tidak membenarkan perkara keji, berita palsu ber kembang dalam masyarakat Islam, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan kehormatan dan maruah seseorang.

    Orang yang suka mengadu domba tidak akan masuk syurga, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba.”

    Sebagai Muslim, sepatutnya masing-masing menghayati pengertian terhadap ‘Islam’ yang dianuti dan dijadikan cara hidup, iaitu kesejahteraan.

    Agama kesejahteraan bukan hanya menjamin kesejahteraan kepada diri sendiri, malah ia juga memberikan kesejahteraan kepada orang lain, dengan tidak mengata terhadap saudara seagama, tidak menyakiti mereka dan tidak mencabuli hak mereka.

    Perbuatan menabur fitnah sebenarnya lebih kejam daripada membunuh, kerana kesan kerosakannya lebih teruk. Jika dengan membunuh, walaupun ia tetap salah, tetapi mang sanya mungkin seorang, tetapi dengan fitnah mungkin mengakibatkan ramai orang dan kesannya berentetan se hingga bertahun-tahun.

    Pada zaman nabi dulu pernah berlaku peristiwa fitnah, sebagaimana dialami isteri baginda, Saidatina Aisyah r.a. Beliau dituduh melakukan perbuatan keji dengan Safwan bin al-Ma’athal selepas perang umat Islam dengan Bani Mush thalaq pada tahun kelima hijrah.

    Akibat kejadian itu, lebih sebulan Aisyah sakit dan di asingkan Rasulullah sehingga turun ayat yang menegaskan kesucian beliau.

    “Sesungguhnya orang yang membawa berita dusta itu golongan daripada kalangan kamu; jangan kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang antara mereka akan beroleh hu kuman sepadan dengan kesalahan dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).

    “Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri mereka sendiri, dan sepatutnya mereka berkata: Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.

    “Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat saksi itu, maka mereka itu pada sisi hukum Allah adalah orang yang dusta.

    “Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu.

    “Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai penge tahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.

    “Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: Tidakkah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mencengangkan.

    “Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini lamanya, jika betul kamu orang yang beriman.

    “Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukum-Nya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

    “Sesungguhnya orang yang suka menghebah tuduhan yang buruk di kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui.

    “Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, dan sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan-Nya.” (an-Nur: 11-20)

    Melalui keterangan itu jelas kepada umat Islam, apabila menerima sesuatu berita hendaklah terlebih dulu diselidiki, lebih-lebih lagi berita yang menyentuh kehormatan se seorang, kerana mungkin dengan penyelidikan itu dapat mengetahui lebih jelas perkara terbabit, sama ada benar atau palsu.

    “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu mu sibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.” (al-Hujuraat:6)

    Kebijaksanaan Luqman tersohor

    LUQMAN al-Hakim adalah seorang tokoh yang menjadi sebutan masyarakat Islam hingga kini, lebih-lebih lagi apabila menyentuh mengenai mutiara kata dan ungkapan yang baik lagi terpuji.

    Kebenaran mengenai kewujudannya suatu masa dulu di perakui al-Quran apabila kitab suci itu sendiri merakamkan nama beliau dan nasihat bermanfaat daripadanya seperti yang dapat diperhatikan melalui surah Luqman.

    “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmah kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu terpulanglah kepada dirinya dan sesiapa yang ingkar dan tidak bersyukur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Luqman:12)

    Al-Quran menceritakan secara umum personaliti Luqman seperti juga tokoh lain daripada kalangan nabi dan orang beriman.

    Justeru, timbul sedikit perselisihan di kalangan ulama dan pengkaji mengenai latar belakang, kehidupan dan ketu runannya.

    Malah, nama Luqman itu sendiri dikatakan adalah nama orang Ajam (orang asing), bukannya nama orang Arab.

    Ibnu Kathir ada menyatakan dalam kitab sejarahnya: ‘Beliau ialah Luqman bin Unqaa’ bin Sadam.’

    Tetapi, ada cerita dari as-Suhaili, dari Ibnu Jarir dan al-Qutaibi: ‘Beliau ialah Luqman bin Tharan.’ Gelarannya Abu An’am.

    Al-Allamah al-Alusy berkata: “Kebanyakan pendapat me ngatakan beliau hidup di zaman Nabi Daud a.s.”

    Katanya lagi: “Orang juga berselisih pendapat apakah beliau seorang yang merdeka atau hamba? Kebanyakan pihak mengatakan beliau adalah seorang hamba Habsyi.”

    Ibnu Qutaibah berkata: “Luqman adalah seorang hamba Habsyi kepada seorang lelaki daripada kalangan Bani Israil. Kemudian beliau dibebaskan dan diberikan harta.”

    Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, dia berkata: “Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Adakah engkau semua tahu siapakah dia Luqman? Mereka pun menjawab: Allah dan Rasul-Nya saja yang lebih tahu. Baginda bersabda: Dia adalah seorang Habsyi.”

    Pendapat yang mengatakan dia adalah seorang Habsyi adalah dari Ibnu Abbas dan Mujahid.

    Al-Hassan al-Basri berkata: “Luqman membina sebuah singgahsana di Ramlah, Syam. Pada masa itu tempat terbabit masih lagi belum dibangunkan. Beliau berada di sana se hinggalah lanjut usianya dan meninggal dunia.”

    Ibrahim bin Adham berkata: “Aku telah diberitahu bahawa kubur Luqman adalah di antara Masjid Ar-Ramlah dan tempat didirikan pasar pada hari ini. Di tempat terbabit terdapat 70 kubur nabi .”

    Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim, dari Abdullah bin Az-Zubair katanya: “Aku telah bertanya kepada Jabir bin Abdullah: Apakah cerita terakhir yang sampai kepadamu semua mengenai keadaan diri Luqman? Jabir menjawab: Dia adalah seorang yang pendek, pesek hidungnya dari keturunan Naubah.”

    Menurut Ibnu Kathir, Luqman adalah seorang lelaki yang soleh, kuat beribadat dan suka memberikan nasihat serta mempunyai kebijaksanaan yang amat tinggi.

    Katanya lagi, Luqman adalah seorang hamba yang banyak berfikir dan mempunyai imaginasi yang baik, malah me ngasihi Allah sehingga Allah mengasihinya.

    “Beliau juga dianugerahkan dengan kebijaksanaan iaitu lidahnya menuturkan kata-kata yang hak, hatinya berfikir perkara baik sementara badannya bergerak dengan baik.

    “Sekiranya beliau berbicara, bicaranya penuh bijaksana dan sekiranya beliau berfikir, pemikirannya penuh bijaksana dan sekiranya beliau bergerak, pergerakannya penuh bijaksana,” katanya.

    Luqman adalah orang pertama yang dipengaruhi dengan hikmah serta beramal dengannya. Oleh kerana itu beliau sentiasa berfikir.

    Beliau adalah seorang yang bijaksana, bersifat zuhud di dunia, tidak mengendahkannya dan tidak memandang ke padanya.

    Dikatakan, sesungguhnya rumah Luqman adalah sebu ruk-buruk rumah dan lebih daif dari sarang labah-labah. Suatu ketika beliau pernah ditanyakan mengenai keadaan terbabit lalu katanya: “Ini sudah cukup banyak bagi orang yang akan mati.”

    Luqman melalui pelbagai peristiwa dalam kehidupannya, antaranya seperti diceritakan, suatu hari beliau masuk ber temu Nabi Daud a.s yang sedang membakar baju besi, lalu beliau ingin bertanya kepadanya namun Nabi Daud men diamkan diri.

    Apabila Nabi Daud menyelesaikan baju besi terbabit dan siap untuk dipakainya, baginda berkata: “Engkaulah pemakai baju perang yang paling baik.”

    Luqman pun berkata: “Berdiam diri itu adalah hikmah (kebijaksanaan), tetapi amat sedikit orang yang melaku kannya.”

    Beliau suka duduk lama bersendirian. Pada suatu hari tuannya lalu di hadapannya lalu berkata: “Wahai Luqman, sesungguhnya engkau ini sering kali duduk lama bersen dirian. Sekiranya engkau duduk dengan manusia ternyata ia lebih baik buatmu.”

    Dijawab Luqman: “Bahawa duduk bersendirian itu aku dapat memahami bagaimana untuk berfikir. Sementara lama berfikir penunjuk jalan ke syurga.”

    Ibnu Kathir menegaskan ulama salaf berselisih pendapat mengenai diri Luqman, sama ada dia seorang nabi atau seorang hamba yang soleh tanpa taraf kenabian?

    Antara dua pendapat ini kebanyakan mereka berpegang dengan pendapat kedua.

    Dipetik dari Ibnu Abbas katanya: “Luqman bukanlah se orang nabi mahu pun raja, tetapi beliau seorang pengembala ternakan yang berkulit hitam. Allah memerdekakannya dan sesungguhnya Dia reda dengan segala kata-kata dan wasiat Luqman...”

    Mengenai sifat hikmahnya, Luqman al-Hakim pernah di tanya, lalu beliau menjawab: “Aku tidak meminta sesuatu yang sudah aku cukupi (ada) dan aku tidak melampau-lam pau dalam sesuatu yang tidak berkenaan dengan diriku.”

    Beiau juga pernah ditanya, dari siapa mempelajari kata-kata hikmah itu, lalu katanya: “Dari orang yang jahil dan bodoh. Setiap kali aku melihat suatu keaiban di kalangan mereka, aku berusaha keras untuk menjauhinya.”

    Dalam satu dialog dengan anaknya, beliau ditanya: “Wahai bapaku sifat manakah yang ada dalam diri manusia yang paling baik?”

    Luqman menjawab: Agama.

    Anaknya bertanya: Sekiranya ada dua?

    Luqman: Agama dan harta.

    Anaknya bertanya lagi: Sekiranya ada tiga?

    Luqman: Agama, harta dan sifat malu.

    Anaknya bertanya lagi: Sekiranya ada empat?

    Luqman: Agama, harta, sifat malu dan akhlak yang baik.

    Anak bertanya lagi: Sekiranya ada lima?

    Luqman: Agama, harta, sifat malu, akhlak yang baik dan sifat pemurah.

    Anaknya bertanya lagi: Sekiranya ada enam?

    Luqman: Wahai anakku, sekiranya lima sifat ini terkumpul dalam diri manusia, dialah seorang yang bersih lagi bertakwa. Dia hanya bertuankan kepada Allah dan menjauhkan diri
    dari syaitan.

    Bertatu dilarang

    JIKA ditinjau dari aspek sejarah, masyarakat Melayu dahulu sangat menyanjungi adat resam, malah pada satu tahap menjadikannya sumber hukum dan kerana itu tidak hairanlah ada peribahasa 'biar mati anak jangan mati adat.'

    Bagaimanapun, mutakhir ini adat resam semakin dilupakan, dek terkesan dengan gelombang modenisasi dan pengaruh budaya Barat. Cuma yang masih ketara di kalangan masyarakat hingga kini ialah dalam aspek kelahiran dan perkahwinan.

    Bagi bakal pengantin, adat berinai masih diamalkan, sekali gus menunjukkan ia boleh bertahan dan meneruskan kelangsungan warisan adat resam Melayu, walaupun ada sesetengah pihak mengamalkannya secara sederhana.

    Penceramah agama, Mohd Rani Awang Besar, berkata umumnya adat resam yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam boleh diamalkan.

    Malah, menurutnya, adat yang baik mencerminkan identiti dan warisan bangsa sesuai dengan agama wajar dipertahan serta diamalkan.

    "Berinai pada dasarnya adalah harus dan tidak menjadi kesalahan selagi ia tidak menggunakan bahan dilarang agama dan tidak menyerupai kaum bukan Islam.

    "Tidak mengapa setakat berinai pada jari, asalkan jangan berlebih-lebihan membawa kepada bahagian lain, seperti tapak tangan sehingga menyerupai kaum bukan Islam," katanya.

    Beliau menegaskan, Rasulullah s.a.w melarang umatnya menyerupai kaum bukan Islam dalam amalan kehidupan, sebagaimana dijelaskan dalam satu hadis bermaksud:

    "Sesiapa yang menyerupai satu kaum maka ia tergolong dalam kumpulan mereka." (Hadis riwayat Abu Daud)

    Kata bidalan ada berbunyi 'hidup bersendikan adat, adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitabullah.' Ini menunjukkan orang Melayu turut menekankan prinsip agama dalam mengamalkan adat resam.

    Mohd Rani berkata, adat yang tidak ada percanggahan dengan hukum agama boleh diteruskan, tetapi dilarang sama sekali meniru pengaruh budaya asing secara melulu tanpa memikirkan akibatnya.

    Jika berinai itu satu adat resam Melayu dan hukumya boleh dilakukan selagi tidak terkeluar daripada lunas Islam, apakah hukumnya perbuatan membuat ukiran pada tangan, lengan dan anggota badan yang lain atau lebih tepat bertatu?

    "Berinai itu dibolehkan kerana tidak menyerupai kaum bukan Islam dan selagi ia menggunakan bahan dibenarkan agama, manakala membuat ukiran atau tatu itu haram hukumnya, kerana ia meniru budaya agama lain," katanya.

    Dalam hadis riwayat Thabrani, Rasulullah s.a.w melaknat perempuan yang membuat tatu dan minta dibuatkan tatu, mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya.

    Tatu ialah tanda ukiran pada tangan, muka atau bahagian lain pada badan dan ia bukan adat resam Melayu. Ia adalah pengaruh budaya asing, sesetengahnya baik lelaki mahupun wanita membuat tatu pada bahagian badan mereka.

    Bagi mendapatkan tatu, kulit badan biasanya dicucuk dengan jarum atau seumpamanya sehingga keluar darah, kemudian ditabur di atas badan yang dicucuk jarum itu dengan nila atau lain-lain bahan supaya tempat itu menjadi biru atau seumpamanya.

    Tujuan bertatu biasanya kerana suka-suka untuk tujuan perhiasan, malah tidak kurang yang melakukannya kerana amalan budaya dalam suku kaum mereka dan melambangkan persembahan agama seperti orang Kristian mengukir lambang salib pada bahagian badan mereka.

    Perbuatan itu termasuk juga mengubah ciptaan Allah dan ia adalah haram. Banyak hadis menerangkan Allah dan Rasul-Nya melaknat orang yang melakukan tatu.

    "Daripada Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma sesungguhnya Rasulullah s.a.w melaknat perempuan yang menyambung rambutnya, yang minta disambungkan, yang menyucuk kulit badan dengan jarum (bertatu) dan yang minta dibuatkan tatu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

    Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zaharuddin Abd Rahman, dalam tulisannya menegaskan, perbuatan yang buruk itu menjadi semakin besar pengharamannya apabila ia dilakukan dengan menyeksa dan menyakiti badan, iaitu dengan menusuk-nusuk jarum pada badan orang yang ditatu itu.

    "Semua ini menyebabkan laknat, baik terhadap yang mentatu atau orang yang minta ditatu," katanya.

    Fatwa dikeluarkan kerajaan Brunei menjelaskan, bagi golongan terbabit (yang melakukan tatu) wajib menghilangkan kesan tatu itu jika diperoleh cara yang selamat dan tidak memudaratkannya.

    "Jika tidak dapat dihilangkannya dengan apa juga cara, tidaklah mengapa yang tinggal (dari kesan tatu itu), bolehlah dia melakukan ibadat seperti sembahyang sebagaimana orang Islam yang lain bersembahyang."

    Perkara ini sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 286, bermaksud: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan diusahakannya dan ia menanggung dosa kejahatan diusahakannya.."

    Rupa ketika marah lebih buruk daripada perlakuan haiwan


    IMAM Syafie ada menegaskan: “Marah adalah satu di antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala ten teranya.”

    Apabila marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Bagi menghilangkan perasaan marah ada beberapa panduan yang boleh diikuti, iaitu:

    *Perlu berasa malu dengan Allah atas segala tindakan kita. Allah memerhatikan segala tindakan dan sikap biadab kita.

    * Apabila datang perasaan hendak marah, ingatlah kita ini hanya manusia yang hina.

    * Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah supaya Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

    * Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah. Ia mungkin membawa kepada permusuha dan balas dendam daripada orang yang kita marahi.

    *Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika marah. Ia lebih buruk daripada perlakuan seekor haiwan apabila kita dalam keadaan marah.

    * Apabila datang perasaan marah, banyakkan membaca isti'azah kerana marah itu datang daripada syaitan.

    * Apabila marah sedang memuncak, ambillah wuduk kerana ia dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

    *. Jika marah tidak dapat hilang dengan melakukan perkara seperti di atas, hendaklah tidur. Ini kerana ia dapat meredakan perasaan marah apabila bangkit dari tidur nanti.

    * Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah?

    * Apabila kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Begitu juga dengan orang lain yang melakukan kesilapan, tidak suka dimarahi, sebalik ditegur secara baik.

    * Satu cara lagi, apabila marah datang, sedangkan kita berdiri, duduklah. Apabila duduk,
    bersandarlah. Insya-Allah marah akan mula reda.


    Nurani: Ambil iktibar zaman jahiliah


    GEJALA sosial bukan fenomena baru, malah berlaku sejak zaman Jahiliah, iaitu sebelum keputeraan Rasulullah s.a.w, sehingga apabila meningkat usianya baginda menyaksikan sendiri kerosakan dilakukan kaum Arab.

    Jika mutakhir ini Amerika kuasa besar, ketika itu Rom dan Parsi yang berkuasa dengan empayar tamadun begitu tinggi. Dua kuasa ini bapa penjajah, sentiasa mencengkam negara dan bangsa yang lemah.


    Bangsa Parsi dan Rom ketika itu mempunyai pentadbiran yang bersistem, malah bala tentera yang besar lagi kuat dan menempa kemajuan dalam pelbagai bidang, terutama pada struktur bangunan, sedangkan kaum Arab sebaliknya.

    Kehidupan orang Arab ketika itu primitif, tetapi daripada aspek lain mereka cemerlang misalnya dalam bidang kesenian - sering mengadakan pertandingan sayembara sastera ma nakala hasil karya digantung di Kaabah.

    Selain itu, diadakan Pesta Ukaz, yang turut diwarnakan dengan pelbagai acara seperti pertandingan ratu cantik, angkat berat, tari menari dan lawan pedang.

    Masyarakat Arab ketika itu putus hubungan dengan Tuhan dan langsung tidak mengenali pencipta. Mereka sekadar mengaku Tuhan wujud, tetapi tidak mengimani kekuasaan Tuhan dalam kehidupan mereka.

    Jiwa mereka kosong. Apabila berhadapan dengan masalah hidup, ramai yang cepat kecewa, putus asa dan membunuh diri, akibat tidak tahan dengan masalah dihadapi.

    Pemujaan terhadap berhala begitu menebal. Di sekitar Kaabah ada kira-kira 360 berhala, malah ada yang membuat sendiri patung dan menyembah ‘tuhan’ buatan itu.

    Saidina Umar ada bercerita selepas beliau menjadi Muslim: “Kadang-kadang ‘tuhan’ itu diperbuat daripada kuih. ‘Tuhan’ itu akan aku bawa ke mana-mana pada masa aman damai, pada masa perang, mengembara dan bermusafir.

    Apabila keletihan ia akan aku letakkan di depan dan aku puja tetapi jika lapar, aku makan, kemudian aku buat tuhan baru.”

    Pada zaman Jahiliyah juga persengketaan lumrah. Mereka saling berdendam, malah disebabkan rasa tidak puas hati dan atas dasar menebus maruah, mereka memerangi satu puak atau kabilah lain, sehingga pertumpahan darah menjadi kebiasaan.

    Golongan yang kuat menindas yang lemah, menyebabkan golongan lemah, miskin dan hidup merempat sentiasa men jadi mangsa, tanpa pembelaan.

    Perempuan misalnya tiada tempat di dalam masyarakat, hanya dijadikan pemuas nafsu lelaki terutama si kaya. Mereka akan mengambil secara paksa mana-mana wanita yang mereka berkenan tanpa peduli anak atau isteri orang.

    Tindakan ini juga menjadikan mana-mana keluarga yang ada anak perempuan hidup tertekan. Anak gadis akan diambil dan dirogol.

    Sudah tentu bagi ibu bapa yang memiliki anak perempuan berasa malu, hingga ada membunuh anak perempuan apabila dilahirkan.

    Dalam bidang ekonomi, kaum Arab mengamalkan riba, supaya si kaya dapat menekan si miskin.

    Amalan riba menjadi budaya dalam sistem ekonomi ketika itu, mengakibatkan orang miskin terperangkap dalam hu tang- piutang, sehingga apabila tidak terbayar kerana terlalu banyak wang faedahnya, orang miskin diambil menjadi hamba.

    Kehidupan mereka bersifat individualistik. Susah dan se nang ditanggung sendiri, tiada yang datang menghulurkan bantuan, sekiranya tiada kepentingan.

    Rompak, penipuan dan pelbagai bentuk kesalahan gara-gara bertuhankan nafsu menjadi-jadi pada zaman Jahiliyah se hingga masyarakat berada dalam keadaan tidak aman, malah yang lemah dalam dilanda ketakutan sepanjang masa.

    Tetapi dengan pengutusan Rasulullah s.a.w, semua kebejatan penyakit sosial itu dapat dirawat, malah sistem nilai ma syarakat dapat diperbetulkan dalam tempoh singkat, jika dibandingkan dengan umat nabi lain, sehingga amalan yang buruk bertukar menjadi baik.

    Dari sebuah masyarakat yang suka hidup atas dasar ke pentingan diri sendiri, hasad dengki dan bersengketa, ber tukar kepada masyarakat yang bekerjasama, berkasih sayang dan saling hormat antara mereka..

    Jika sebelum itu patung berhala dipuja, malah membuat sendiri patung pujaan terbabit, tetapi dengan kedatangan Rasulullah, mereka menjadi manusia yang mengenal Tuhan Yang Esa, malah menjadi hamba yang taat setia.

    Perubahan dalam segenap aspek baik dari sudut ideologi, amalan seharian, keperibadian dan sistem nilai menunjukkan kejayaan cukup cemerlang dalam perjuangan Rasulullah s.a.w.

    Tetapi pada zaman orbit dunia berputar laju kini, gejala yang serupa makin bertapak, sedangkan dalam masa yang sama Islam semakin diterima ramai, seolah-olah contoh yang terkandung dalam lipatan sejarah dilupai dan tidak dijadikan pedoman.

    Adab berjiran

    SIBUK mengejar kemewahan material membuatkan ada antara kita tidak sempat bertegur sapa dengan jiran walaupun di sebelah rumah sehingga perhubungan menjadi hambar.

    Kegagalan memahami konsep kejiranan menyebabkan ber laku perselisihan faham, bertekak dan bermasam muka, malah lebih serius hingga peringkat mencederakan dan membunuh jiran.


    Keadaan seperti itu pasti merosakkan perpaduan dan mem bangkitkan permusuhan di kalangan masyarakat sedangkan Islam adalah agama yang mendambakan perhubungan baik sesama manusia.

    Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah satu daripada cara hidup yang dituntut Allah kerana amalan kejiranan yang sempurna memupuk semangat ke bersamaan, persefahaman dan keharmonian.

    Kemakmuran sesebuah negara juga bergantung kepada kemantapan dan keutuhan hubungan pada setiap lapisan masyarakatnya.

    Malah, ciri masyarakat berkualiti dan masyarakat contoh juga tergambar melalui persefahaman dan hubungan yang erat.

    Justeru, Islam menekankan umatnya menjaga hubungan dalam kehidupan bermasyarakat dan ia tidak terbatas kepada sesama masyarakat Islam, malah melepasi batas agama, bangsa, keturunan, warna kulit dan bahasa pertuturan.

    Dalam kejiranan, umat Islam wajib mengekalkan hubungan baik dan menyemai kemesraan kerana sifat sebegitu akan membentuk kehidupan aman dan harmoni, malah jika berdepan masalah, ia diselesaikan dengan baik.

    “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.” (an-Nisaa’: 36)

    Perunding Motivasi Fitrah Power Resources, Ahmad Shukri Yusof, berkata dalam Islam ada dua konsep utama iaitu hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan sesama manusia.

    “Menyentuh mengenai kejiranan ia membabitkan konsep hubungan manusia sesama manusia dan apabila mem babitkan perhubungan sesama manusia yang lebih diuta makan ialah nilai akhlak, perangai, tingkah laku atau ke peribadian.

    “Nilai akhlak ini perlu diterapkan dalam budaya kejiranan. Jika kita orang Arab walaupun mereka terkenal sebelum ini dengan permusuhan, tetapi mereka kuat berjiran,” katanya.

    Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jibril sentiasa ber wasiat kepadaku mengenai jiran, sehingga aku menyangka jiran itu akan saling mewarisi.”

    Dalam realiti kehidupan hari ini manusia tidak boleh lari daripada hidup berjiran, baik di kota mahupun di desa.

    Suka atau tidak terpaksa berdepan dengan jiran, walaupun mempunyai minat dan cita rasa berbeza, malah ragam yang berlainan.

    Ahmad Shukri berkata, Islam pada dasarnya menganjurkan umatnya berbuat baik kepada semua orang tanpa mengira perbezaan agama, budaya dan keturunan.

    Malah, katanya, berbuat baik sesama manusia termasuk kepada jiran melambangkan ciri orang beriman yang ber pegang teguh pada agama.

    “Jiran ada banyak kategorinya, ada jiran berasaskan per talian darah, agama dan keturunan, tetapi semuanya perlu dibuat baik.

    “Berbuat baik pula banyak tingkatannya dan mungkin kita tidak sampai ke tingkatan paling tinggi. Menyapa seperti bertanya khabar juga termasuk berbuat baik,” katanya.

    Umat Islam, katantya, dilarang membelakangkan jiran, menyinggung hati mereka, menyusahkan dan menyakiti mereka.

    “Jika timbul masalah berkaitan jiran, jangan cepat melatah, tetapi banyak bersabar kerana sifat ini mencerminkan muk min yang baik.

    “Selain itu, berusaha mencari jalan terbaik untuk me nyelesaikan masalah itu supaya kecantikan budi pekerti yang diajarkan Rasulullah dan keelokan Islam itu terpancar dan menjadi ikutan kepada yang lain,” katanya.

    Menurutnya, dalam adab berjiran umat Islam juga dilarang membuka aib jiran seperti menceritakan rahsia mereka kepada orang lain, menceroboh kediaman mereka dan me ngambil hak mereka.

    Dalam hubungan ini sesuai juga dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia yang memberi man faat kepada orang lain.”

    Ibnu Qayyim (rahimahullah) menghuraikan hadis itu de ngan menjelaskan, sesiapa yang berbuat baik kepada orang lain Allah akan berbuat baik kepada dirinya dan sesiapa yang bersifat rahmah kepada orang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya.

    Malah, sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya dan sesiapa yang menutup keaiban orang lain, Allah akan menutup keaibannya dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, Allah akan menegah kebaikan kepadanya dan sesiapa yang berhubung kepada yang lain dengan sifat tertentu Allah akan ber muamalah dengannya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat.

    Hadis nabi mengenai tanda kecil kiamat ada berbunyi: “Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan ber sikap yang buruk dengan jiran.” (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim)


    Selasa, 13 Mei 2008

    Keluar darah beku ketika buang air kecil

    PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat

    SAYA berusia 29 tahun dan sudah berkahwin selama tujuh tahun tetapi masih belum dikurniakan anak. Masalahnya, kitaran haid saya tidak menentu serta mempunyai masalah kencing manis dan kegatalan pada alat sulit.

    Ada kalanya, keluar darah beku bila saya buang air kecil. Adakah ia dianggap darah haid?

    Semasa kecil, saya tidak mendapat suntikan mencukupi. Adakah ia punca masalah saya kini? Adakah saya berpeluang untuk hamil?

    MAI
    Bandar Baru Ampang, Selangor

    PENYAKIT kencing manis anda perlu diberikan tumpuan terlebih dulu. Lazimnya wanita yang mempunyai kencing manis tidak mempunyai masalah untuk hamil tetapi berisiko untuk mengalami keguguran dan kecacatan janin.

    Tidak mustahil jika sebenarnya anda pernah mengalami keguguran awal yang disangka sebagai haid lewat. Berkemungkinan juga anda mempunyai masalah lain yang menyebabkan kesukaran hamil. Ini perlu diperiksa.

    Kegatalan alat sulit dan darah selepas membuang air kencing adalah petanda jangkitan faraj serta jangkitan air kencing. Ia bukan saja perlu disahkan melalui ujian mudah secara mengambil sampel lelehan faraj dan air kencing, ia juga perlu dirawat.

    Malah, jangkitan berulang adalah satu petanda keadaan kencing manis yang masih belum terkawal sebaiknya.

    Anda dinasihatkan berjumpa pakar perubatan endokrinologi untuk menilai status penyakit kencing manis anda. Rawatan perlu diteruskan sama ada dari segi ubat-ubatan atau corak pemakanan.

    Pemeriksaan dan ujian awal berkaitan kesuburan juga boleh dilakukan sekarang, seelok-eloknya oleh pakar sakit puan am. Setelah ia terkawal, barulah anda boleh memulakan kehamilan.

    Suntikan pelalian yang diberikan sewaktu kecil bertujuan melindungi kita daripada penyakit berjangkit seperti batuk kering (tuberkulosis atau TB) dan seumpamanya.

    Sebagai makluman, sebahagian penyakit ini (jika dijangkiti) boleh juga mengganggu sistem peranakan wanita misalnya TB pelvis boleh merosakkan ruang rahim dan pelvis.

    Rasa pedih bersama suami selepas keguguran

    PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat

    Soalan

    SAYA berusia 24 tahun dan sudah berkahwin. Pada Disember 2006, saya mengalami keguguran.

    Walaupun sudah lebih setahun, saya masih berasa pedih apabila bersama suami. Doktor menyatakan rahim saya bengkak dan akan pulih dengan sendiri.

    Kitaran haid saya berjalan seperti biasa dan tiada masalah. Apakah keguguran itu menyebabkan saya rasa pedih bila bersama suami? Apakah yang harus saya lakukan?

    NOR
    Taman Imigresen, Johor Bahru.

    Jawapan

    SESEORANG yang keguguran lebih setahun jarang mengalami masalah seperti anda. Pedih apabila bersama mungkin disebabkan luka pada pintu rahim akibat kesan prosedur dilation & curettage (D&C), jika ada dilakukan, namun ia tidaklah kekal untuk tempoh lama.

    Anda dinasihati menjalani pemeriksaan dalaman untuk memeriksa keadaan faraj dan pintu rahim. Pada masa sama, ujian pap smear boleh dilakukan.

    Bengkak rahim juga mempunyai beberapa punca, anda mungkin ingin bertanya doktor anda lebih lanjut mengenai apa yang dimaksudkan dengan bengkak rahim.

    Urut tak dapat betulkan uri

    PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat

    Ibu alami plasenta previa mahu lakukan sengkak selepas pembedahan Ceasarean

    SAYA berusia 34 tahun dan mempunyai empat anak. Semasa hamil anak keempat pada 2006, saya menghadapi plasenta previa type I/II dan saya bersalin secara pembedahan.

    Untuk pengetahuan doktor, ketiga-tiga anak sebelum ini bersalin secara normal. Persoalannya, bolehkah sengkak dilakukan seperti mana lazimnya dibuat selepas bersalin normal sebelum ini?

    Bagaimana untuk mengelakkan berlakunya plasenta previa? Adakah ia boleh dilakukan secara urutan?

    UMI
    Kajang, Selangor

    UNTUK makluman umum, plasenta previa adalah nama perubatan untuk keadaan uri di bawah. Pada awal ketibaan embrio dari tiub falopio ke dalam ruang rahim, saiznya amat kecil berbanding saiz ruang rahim.

    Embrio ini kemudian akan melekat pada mana-mana bahagian atau permukaan terdalam dinding rahim ini, proses ini dinamakan implantasi.

    Embrio ini kemudiannya akan berkembang lanjut dan membahagi kepada janin dan uri manakala selaputnya membentuk selaput ketuban (membran amnion). Titik atau lokasi perlekatan embrio inilah yang menentukan kedudukan uri.

    Cuma dengan berlakunya pembentukan segmen bawah dinding rahim selebar kira-kira lima sentimeter (sm) yang berlaku selepas minggu ke-28 kehamilan, ia memberi peluang untuk uri yang berada pada kawasan bawah ini untuk seolah-olah dianjakkan ke atas.

    Peluang ini bergantung kepada sejauh mana lokasi uri berada di bawah. Jika hanya sebahagian saja yang berada di bahagian bawah, kemungkinan untuk ia 'naik' ke segmen atas lebih tinggi.

    Sebaliknya, jika berada betul-betul di bahagian bawah, ia lebih berkemungkinan untuk kekal di segmen bawah.

    Plasenta previa tidak mempunyai punca. Tidak ada faktor mempengaruhi embrio awal ini melekat di mana-mana bahagian permukaan dinding rahim. Namun, secara kajian plasenta previa didapati lebih kerap berlaku pada keadaan berikut:

    * Pernah menjalani pembedahan Caesarean.

    * Kehamilan kerap. Ia kurang berlaku dalam kehamilan pertama.

    *Usia meningkat. Ini mungkin berkait dengan kemungkinan wanita ini pernah menjalani
    pembedahan atau kerap hamil.


    * Kehamilan kembar (saiz uri lebih besar).

    *Pernah mengalami plasenta previa dalam kehamilan sebelumnya.

    * Pernah menjalani prosedur D&C

    * Merokok

    Kedudukan uri pada awal kehamilan seawal 15 minggu (tiga setengah bulan) kehamilan. Sekiranya ia didapati berada melangkaui lingkungan satu sentimeter dari pintu rahim interna, ia lebih berisiko untuk kekal sebagai plasenta previa.

    Uri tidak seperti janin, uri tidak boleh bergerak sendirinya atau digerakkan. Uri yang berbentuk seperti piring berdiameter selebar sekitar 20 sm ini melekat keseluruhannya pada permukaan dinding rahim sepanjang kehamilan sehinggalah setelah lahirnya bayi.

    Ramai wanita membuat salah tanggapan bahawa plasenta previa boleh dibetulkan kedudukannya atau dielakkan. Berurut juga tidak dapat membetulkan kedudukan uri.

    Berurut mungkin dapat mengubah kedudukan janin memandangkan janin boleh berpusing atau bergerak tetapi ini juga mendedahkan anda dan bayi kepada komplikasi bahaya.

    Berurut secara perubatan moden ada dilakukan untuk membetulkan kedudukan janin tetapi prosedur ini dilakukan dalam keadaan ibu dan doktor serta kakitangan hospital bersedia untuk menghadapi kemungkinan pembedahan Caesarean terpaksa dilakukan serta-merta.

    Dengan penerangan di atas, anda mungkin dapat lebih memahami bahawa plasenta previa tidak boleh dielakkan melainkan anda membuat keputusan untuk tidak hamil lagi.

    Anda juga lebih terdedah kepada risiko plasenta previa memandangkan anda lebih berusia sekarang, kehamilan berikutnya adalah kehamilan kelima (disebut multipara), pernah mengalami plasenta previa dan pernah menjalani pembedahan Caesarean.

    Sengkak sewaktu berpantang dilakukan berdasarkan andaian rahim terjatuh daripada tempat asalnya dan perlu dinaikkan semula. Ini mungkin ada logiknya jika rahim pada asalnya berada dalam kawasan atau takuk tertentu pada ruang pelvis, namun sebenarnya ia tidak.

    Bahagian tertentu rahim dipegang oleh struktur berotot dan berligamen yang kemudian melalui tekanan atau trauma pemanjangan sewaktu hamil serta tekanan meneran kelahiran.

    Trauma ini boleh menyebabkan rahim jatuh sedikit atau lebih teruk sehingga kelihatan terjulur keluar dari faraj. Berurut sewaktu berpantang bagaimanapun dapat memberi kelegaan serta sokongan moral oleh bidan yang juga menjadi teman berbual mengenai panduan penjagaan diri dan keluarga.

    Lazimnya bidan akan mengelakkan kawasan perut sewaktu mengurut wanita bersalin pembedahan, ia lebih kepada anggota lain seperti tangan dan kaki serta bahu.

    Selepas tempoh berpantang, kebiasaannya luka pembedahan sembuh sepenuhnya, namun ada juga yang mengambil masa sehingga tiga hingga empat bulan.

    Sebelum berurut, anda dinasihatkan membuang air kencing terlebih dulu agar tidak berlaku trauma pundi kencing akibat tekanan urutan terbabit. Kes pundi kencing pecah selepas berurut juga pernah berlaku dan memerlukan pembedahan kecemasan untuk membaikinya.

    Jahitan terbuka selepas 2 minggu dalam pantang

    PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat

    Soalan

    SAYA mempunyai dua anak di mana anak kedua dilahirkan normal seberat 3.9 kilogram lalu saya menerima banyak jahitan kerana anak saya besar. Semasa dua minggu berpantang, jahitan itu terbuka. Saya terpaksa ke hospital untuk mencantum kembali jahitan yang terbuka itu.


    Dalam masa tiga hari berikutnya, ia terbuka sedikit dan saya membiarkan saja tanpa jahitan. Adakah saya akan menghadapi masalah jika saya hamil anak ketiga nanti? Ini kerana, pintu rahim saya terbuka dan tidak sama seperti dulu.

    SITI
    Sungai Yan, Kedah.

    Jawapan

    SAYA berpendapat jahitan yang terbuka terbabit adalah di kawasan bukaan faraj dan bukannya pintu rahim. Pintu rahim (serviks) terletak jauh di penghujung faraj dan tidak boleh dilihat sendiri.

    Pintu rahim hanya boleh dilihat menggunakan alat bantuan spekulum yang dimasukkan ke dalam faraj untuk membuka faraj sehingga nampak pintu rahim di penghujungnya.

    Sewaktu kelahiran, doktor mungkin sudah melakukan potongan pada penghujung faraj secara bersudut ke tepi bagi mengelakkan terkena dubur. Potongan ini mungkin kemudiannya dilebarkan secara guntingan apabila menyedari bayi besar atau ia terkoyak sendiri.

    Luka koyak yang anda alami mungkin panjang dan bercabang sehingga ke kawasan bukaan dubur. Tidak mustahil berlaku kemasukan kuman dari kawasan dubur ini menjangkiti luka jahitan terbabit dan mengganggu proses penyembuhan sehingga menyebabkan jahitan terbuka.

    Keadaan lembap akibat pendarahan nifas pada tuala wanita pula tambah menggalakkan perpindahan kuman yang berasal dari kawasan dubur ini. Ini bukannya kesalahan anda kerana sukar untuk memastikan keadaan tuala wanita kering sepanjang masa memandangkan pendarahan nifas berlaku berterusan.

    Namun, wanita masih dinasihati lebih kerap menukar tuala wanita terutama dalam seminggu pertama selepas bersalin agar keadaan kemaluan tidak terlalu basah sehingga menggalakkan jangkitan.

    Maka, kandungan berikutnya lazimnya tidak dipengaruhi oleh koyakan kelahiran kedua terbabit. Namun, memandangkan berat bayi anda besar, doktor mungkin mencadangkan anda menjalani ujian darah untuk mengesan penyakit kencing manis.

    Selain itu, secara amnya, bayi ketiga lazimnya dijangka mempunyai berat lahir yang melebihi berat bayi pertama dan kedua, terutama jika ia dilahirkan pada tarikh lebih lewat daripada usia kandungan bayi sebelumnya dilahirkan.

    Begitu juga dengan kelahiran seterusnya dijangka mempunyai berat lahir bayi yang lebih. Jadi, tidak mustahil jika bayi ketiga ini lebih berat, anda juga boleh mendapat luka faraj yang lebih lebar, malah luka pada pintu rahim.

    Kebanyakan doktor akan mencadangkan kelahiran secara pembedahan Caesarean jika bayi ketiga ini lebih besar. Ini penting bagi mengelakkan trauma kelahiran bukan saja kepada anda, malah kepada bayi seperti badan tersekat (dystocia bahu), kerosakan saraf brakial tangan dan seumpamanya.

    Wanita kahwin lewat ingin hamil

    PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat

    Soalan

    SAYA berusia lingkungan 40-an dan agak lewat bertemu jodoh. Kini sudah lima bulan saya berumah tangga. Bolehkah saya mendapat zuriat pada usia sebegini?


    Haid saya datang setiap bulan cuma ada kalanya awal dan ada kalanya lewat. Setiap kali didatangi haid, saya mengalami sakit perut di sebelah kiri dan keluar semacam ketulan tetapi kesakitan hilang selepas dua hari.

    Saya juga mual dan asyik muntah air yang dialami setiap bulan. Adakah keadaan ini juga menjejaskan peluang saya untuk hamil?

    SU
    Linggi, Negeri Sembilan.

    Jawapan

    SEELOKNYA, anda dan suami berjumpa pakar sakit puan untuk membincangkan beberapa perkara dengan lanjut seperti risiko mengalami keguguran serta risiko ketidaknormalan kromosom anak mengakibatkan keguguran, kematian dalam kandungan, atau kelahiran anak dengan sindrom tertentu.

    Selain itu, perkara lain termasuk risiko masalah sewaktu hamil seperti penyakit darah tinggi, kencing manis, uri bawah dan seumpamanya serta kemungkinan kaitan senggugut dan ketulan yang dirasai dengan kesukaran hamil.

    Setelah betul-betul memahami risiko dan jika masih berhasrat untuk hamil serta bersedia menghadapinya, terpulanglah pada anda dan suami untuk meneruskan hasrat.

    Lebih elok ia dimulakan sekarang daripada menunggu lebih lewat lagi. Namun, sebelum itu, untuk memulakan kehamilan bukanlah mudah. Ini kerana kesuburan wanita sangat dipengaruhi oleh usianya.

    Anda mungkin memerlukan teknik bantuan kehamilan tertentu yang lazimnya dimulakan dengan ubat hormon kesuburan sama ada semudah menggunakan pil atau secara suntikan yang jauh lebih mahal. Kaedah permanian berhadas dan persenyawaan tabung uji juga tambah membantu.

    Mual dan muntah air yang dialami juga perlu diperiksa, ia tidak sepatutnya berlaku. Selain itu, mulakanlah pengambilan pil asid folik sebanyak 5 miligram setiap hari untuk mengurangkan risiko kecacatan otak dan saraf tunjang bayi.

    Suami juga dinasihatkan menjalani ujian air mani. Walaupun peluang kehamilan rendah berbanding wanita yang berusia kurang 40 tahun, siapa tahu anda mungkin termasuk dalam lima peratus kumpulan yang berjaya hamil. Selamat mencuba.

    Payu dara kiri kena bisul

    PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat

    Soalan

    SAYA ibu muda kepada dua anak lelaki mempunyai masalah menyusukan anak sulung saya pada payu dara sebelah kiri kerana puting agak pendek. Bagaimanapun, saya dapat mengatasinya selepas kelahiran anak kedua.

    Masalahnya kini, saya sering terkena bisul di bahagian payu dara sebelah kiri saja. Kesakitan yang amat sangat menghalang saya untuk meneruskan penyusuan sehingga menyebabkan payu dara saya terus membengkak. Apakah masalah yang saya hadapi kini?

    LIZA
    Damansara

    Jawapan

    MUNGKIN bisul yang anda alami belum pernah dirawat sepenuhnya. Bisul boleh menyebabkan pengumpulan nanah (abses) yang perlu dibuang dan dibersihkan melalui prosedur kecil (incision & drainage atau I&D) selain mengambil ubat antibiotik.

    Jika benar ia berulang, anda juga perlu menjalani ujian darah untuk mengesan penyakit kencing manis. Berjumpalah doktor untuk kepastian dan rawatan.

    Sementara itu, payu dara kiri ini perlu diperah susunya bagi mengelakkan ia membengkak. Ini kerana pengumpulan susu di dalam kelenjar payu dara masih berlaku berterusan, jika ia tidak dikeluarkan payu dara akan terus membengkak dan ini akan lebih menambah kesakitan.

    Gangguan haid lepas pembedahan


    PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat


    Soalan

    SAYA pernah membuat pembedahan pada 31 Mei 2007 disebabkan darah haid yang tidak keluar sepenuhnya menyebabkan ia melekat pada ovari sebelah kanan.


    Doktor memberitahu ia sejenis penyakit endometriosis. Walaupun sudah masuk sembilan bulan selepas pembedahan, saya dapati darah banyak keluar dan selepas 14 hari masih ada darah yang keluar tetapi berwarna coklat dalam kuantiti sedikit. Kadangkala darah keluar, kadangkala tidak.

    Saya risau, adakah penyakit ini berulang atau sebaliknya. Saya dapat rasakan perut saya berdenyut dengan tiba-tiba. Apakah pandangan doktor mengenai hal ini?

    ANA,
    Kuala Lumpur

    Jawapan

    NAMA endometriosis diambil daripada perkataan endometrium (endometrium adalah lapisan terdalam dinding rahim, ia juga disebut lapisan haid). Ini kerana endometriosis mempunyai ciri yang sama dengan tisu endometrium.

    Ada teori yang menyatakan endometriosis berpunca daripada tisu haid ini (endometrium) yang tidak keluar turun melalui faraj tetapi sebaliknya melalui tiub falopio dan tumpah ke dalam ruang pelvis. Ia kemudiannya 'hidup' sama seperti yang dialami oleh endometrium iaitu berkembang mengikut pusingan haid dan 'berlaku pendarahan' pada waktu haid.

    Tisu endometriosis boleh didapati di mana-mana bahagian badan (ia turut mempunyai teori lain kewujudannya). Namun lazimnya, ia didapati pada kawasan berhampiran tumpahan darah haid ini iaitu pada ovari (membentuk cyst yang dinamakan endometrioma, endometriotic cyst atau chocolate cyst), jauh ke dalam otot dinding rahim (dinamakan adenomyosis), permukaan rahim terutama permukaan belakang, ligamen utero-sakrum, pouch of Douglas dan seumpamanya.

    Endometriosis paling kerap berlaku pada ovari memandangkan bukaan tiub falopio paling hampir kepada ovari. Sewaktu ia melalui tiub falopio, ia juga boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem silia yang berfungsi menggerakkan sperma, telur atau embrio, lazimnya ia tidaklah sehingga menyebabkan penyumbatan tiub falopio ini.

    Walaupun endometriosis boleh berpunca daripada darah haid yang tidak habis keluar melalui faraj, kuantiti darah haid yang keluar melalui faraj tidak melambangkan penyakit endometriosis seseorang.

    Tidak semestinya haid yang sedikit bermakna banyak darah haid yang tumpah ke dalam ruang pelvis. Kuantiti haid lebih bergantung kepada ketebalan dan pematangan pembentukan lapisan haid yang dikawal oleh hormon kesuburan seseorang.

    Dalam keadaan anda, seeloknya teruskan rawatan doktor. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada doktor anda mengenai beberapa perkara seperti peringkat endometriosis yang anda alami dulu, pengulangan endometriosis, pilihan rawatan selanjutnya, pemeriksaan kesuburan (jika dikehendaki) serta ujian berkaitan (seperti ujian darah Ca125 boleh membantu memantau penyakit endometriosis dan seumpamanya).

    Secara amnya, endometriosis boleh berlaku pada mana-mana wanita yang masih didatangi haid dan hanya tidak akan muncul selepas wanita putus haid (menopaus). Sesiapa saja wanita kumpulan usia reproduktif termasuk anda boleh mengalami endometriosis.

    Ahad, 11 Mei 2008

    Musykil suami tiada sperma


    PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat


    SAYA berusia 30 tahun, sudah berkahwin enam tahun dan masih belum mempunyai anak. Baru-baru ini kami menjalani pemeriksaan doktor dan diberitahu suami saya mempunyai masalah sperma.

    Suami saya tidak mempunyai sperma dan menasihatkan kami mengambil anak angkat saja. Saya musykil kerana suami saya tidak mempunyai penyakit dan kelihatan seperti lelaki lain.

    Suami saya berusia 32 tahun dan tidak merokok. Air maninya juga banyak, malah setiap kali selepas bersama, saya dapati air mani suami saya banyak keluar semula. Adakah ini juga menyebabkan saya tidak hamil? Apakah pandangan doktor?

    MILAH
    Kuala Lumpur.

    KETIADAAN sperma di dalam air mani dinamakan azoospermia. Azoospermia boleh memberikan tanggapan atau impak yang negatif terhadap peluang kehamilan.

    Tidak semua keadaan azoospermia bermakna seseorang lelaki itu tidak menghasilkan sperma sama sekali. Ada kemungkinan laluan perjalanan spermanya terhalang akibat penyumbatan kongenital atau jangkitan, ada juga kemungkinan disebabkan gangguan hormon pada kelenjar pituitari ataupun testes.

    Lazimnya, jika analisa air mani memberikan keputusan azoospermia, seseorang diminta menjalani ujian air mani sekali lagi setelah tiga hingga lima hari menyimpan air mani di dalam badan.

    Pemeriksaan fizikal dan beberapa ujian darah turut dilakukan. Pemeriksaan fizikal ke atas testes (buah zakar) dapat mengesahkan lokasinya dan saiz serta kekenyalannya.

    Ujian darah menilai hormon FSH, LH, testosteron dan kromosom juga boleh dilakukan. Ketiadaan testes di dalam kerandut zakar boleh menandakan keadaan ‘undescended testes’ di mana testes masih berada di dalam badan dan lazimnya rosak akibat suhu badan yang lebih tinggi.

    Saiz testes yang normal dan ujian yang normal pula menandakan kemungkinan sperma ada dihasilkan tetapi terhalang laluannya akibat saluran tersumbat.

    Dalam kebanyakan kes, masalah ini membabitkan saluran epididimis atau vasa deferens akibat kecacatan kongenital ataupun akibat jangkitan kuman. Ini boleh disahkan melalui prosedur kecil mengambil epididimis untuk dilihat kehadiran spermanya.

    Rawatan secara persenyawaan tabung uji (ICSI) menggunakan teknik tambahan mengambil sperma dari epididimis dan kemudian menyuntik sperma ke dalam telur isteri (ICSI-MESA, ICSI-PESA) boleh dilakukan namun ia memakan kos yang cukup mahal.

    Dalam keadaan tiada sperma didapati dari epididimis disebabkan oleh ketiadaan epididimis kongenital atau trauma kesan parut pada epididimis, pilihan rawatan ICSI menggunakan teknik tambahan mengambil sperma daripada biopsi testes (ICSI-TESE) boleh dilakukan, namun peluang kejayaannya lebih rendah.

    Sebaliknya jika ujian darah tidak normal seperti FSH, LH dan testosteronnya rendah serta saiz testesnya kecil, puncanya lebih berkait dengan kurang rangsangan oleh hormon FSH kelenjar pituitari bahagian otaknya. Keadaan ini dinamakan hipogonadotrofi hipogonadism.

    Rawatan suntikan hormon gonadotrofin boleh membantu. Masalah ini mungkin tiada pada suami anda memandangkan fizikal lelaki sebegini lazimnya kurang sifat kelelakian atau kurang maskulin.

    Rawatan suntikan hormon gonadotrofin ini mungkin mengambil masa berbulan-bulan sebelum testes mula menghasilkan sperma, namun berpotensi untuk membuahkan kehamilan kemudiannya tanpa bantuan persenyawaan tabung uji.

    Jika hormon FSH meningkat dan testosteron rendah, ini boleh menandakan masalah ketiadaan penghasilan sperma oleh testes yang lebih rumit. Lazimnya, saiz testes juga lebih kecil. Biopsi testes mungkin menunjukkan gangguan proses spermatogenesis dengan kehadiran hanya sel sertoli saja.

    Jika sperma didapati ada, rawatan ICSI-TESE secara mendapatkan sperma melalui biopsi testes dan kemudiannya bantuan persenyawaan tabung uji boleh dilakukan. Jika biopsi testes menunjukkan ketiadaan sperma, peluang kehamilan amat tipis memandangkan tiada benih daripada pihak lelaki untuk mensenyawakan telur.

    Ini mungkin ada kaitan dengan ketidaknormalan kromosom Y. Rawatan kesuburan menggunakan sperma penderma ada ditawarkan oleh beberapa pusat kesuburan, namun ia tidak dibenarkan oleh Islam. Pilihan lain adalah mengambil anak angkat atau menerima hakikat meneruskan hubungan suami isteri tanpa zuriat.

    Varikosel juga boleh menyebabkan azoospermia. Ini boleh dirawat secara pembedahan membaikinya. Suami dinasihatkan meneruskan rawatan dengan pakar kesuburan yang berpengalaman dalam rawatan pensenyawaan tabung uji serta pakar bedah urologi.

    Selaput dara gadis terkoyak

    PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat

    SAYA berumur 26 tahun dan belum berkahwin. Saya mendapati selaput dara saya terkoyak dan bahagian dalam selaput dara pula kemerah-merahan serta gatal.

    Apakah punca selaput dara terkoyak dan bagaimana cara untuk mengatasi kegatalan dalam kawasan selaput dara?

    AFRINA
    Cheras, Kuala Lumpur

    SEELOKNYA anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan bahagian luaran kemaluan. Ini kerana sukar untuk seseorang, terutama bagi gadis untuk memeriksa sendiri selaput daranya apatah lagi bahagian dalam selaput dara.

    Selaput dara agak tersorok walaupun lokasinya tidak jauh dari bukaan faraj, rupanya juga seperti tisu kemerahan yang kelihatan berkelopak tanpa bukaan yang nyata kecuali jika diregangkan sewaktu pemeriksaan terbabit. Mungkin apa yang anda lihat adalah bahagian kemaluan yang ada berhampiran bukaan faraj yang dikenali sebagai 'fourchette posterior'.

    Selaput dara sebenarnya tidak mudah terkoyak. Ia terlindung oleh faraj, bibir kemaluan kecil serta bibir kemaluan utama. Tusukan terus untuk kali pertama ke dalam faraj boleh menyebabkan trauma koyakan pada selaput dara.

    Koyakan pula tidak berlaku pada keseluruhan selaput ini yang berbentuk seperti cincin pipih, tetapi pada satu atau beberapa titik tempat koyakan. Di mana berlakunya koyakan pula dapat memberi gambaran sama ada tusukan itu berlaku secara paksaan ataupun sukarela.

    Selain daripada tusukan terus ke dalam faraj, trauma kemalangan akibat terjatuh atau terhentak ke atas benda terus ke kawasan kemaluan juga boleh menyebabkan koyakan selaput dara, ia lazimnya disertai dengan trauma ke atas struktur yang berada lebih terkeluar daripadanya seperti bukaan faraj, fourchette posterior serta bibir kemaluan. Aktiviti senaman pula jarang menyebabkan koyakan selaput dara.

    Mungkin selaput dara sebenarnya masih utuh. Anda mungkin mengalami kegatalan bahagian bukaan faraj yang mungkin disebabkan oleh jangkitan. Berjumpalah doktor anda untuk kepastian.

    Jika ia disebabkan jangkitan, seeloknya anda mengambil rawatan bersesuaian. Panduan berikut boleh digunakan untuk mengurangkan risiko jangkitan faraj:

    " Mencuci dan mengesat kemaluan dari arah hadapan ke arah belakang (dubur) dan bukan sebaliknya. Ini dapat mengelakkan kuman dubur daripada menjangkiti faraj.

    "Lebih kerap menukar seluar dalam jika mudah berpeluh atau selepas senaman. Keadaan seluar dalam yang lembap atau basah memudahkan jangkitan.

    " Mengamalkan teknik 'rendaman Sitz' secara duduk merendamkan punggung anda ke dalam besen berisi air bercampur sedikit garam. Terlebih dulu, kemaluan termasuk dubur harus dibersihkan.

    " Mengambil rawatan bersesuaian. Jangkitan faraj juga boleh mengundang jangkitan pundi kencing. Ini kerana bukaan saluran kencing wanita terletak sangat berhampiran dengan bukaan faraj dan pendek ukurannya. Ini menyebabkan wanita lebih mudah mengalami jangkitan pundi kencing berbanding lelaki.

    Kuman najis kucing boleh jejaskan kandungan

    PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat

    ADAKAH benar wanita hamil yang memelihara kucing boleh menyebabkan masalah kepada kandungannya?

    FARAH,
    Kuala Lumpur

    KUCING ada dikaitkan dengan pembawa kuman toksoplasmosis, jangkitan ini boleh menyebabkan kecacatan teruk kepada janin. Yang lebih penting adalah sentiasa menjaga kebersihan, terutama sentiasa mencuci tangan sebelum makan atau minum.

    Sisa najis boleh melekat pada tangan sama ada secara sentuhan langsung dengan sisa najis terbabit ataupun sentuhan dengan orang lain yang dicemari oleh sisa najis kucing yang mengandungi kuman toksoplasmosis ini.

    Ujian pengesahan boleh dilakukan menerusi ujian darah bagi mengesan kehadiran antibodi terhadap kuman ini.

    Kurang air dalam badan jejas kehamilan


    PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat


    SAYA berusia 24 tahun dan kini hamil anak pertama. Saya dijangka melahirkan anak pada 6 Oktober ini, iaitu sekitar musim perayaan.

    Kami bercadang untuk balik ke kampung di utara dengan menaiki kereta. Adakah ia boleh membahayakan kandungan dengan perjalanan jauh ini?

    MIRA,
    Kuantan, Pahang.

    RISIKO berkaitan perjalanan darat yang utama adalah kemalangan jalan raya. Pemakaian tali pinggang keledar dapat meminimumkan impak kemalangan, namun ia perlulah dipakai dengan betul iaitu tali bahagian atas dipakai merentangi bahu kiri dan melalui kawasan di antara dua payudara dan kemudiannya ke kawasan atas rahim dan dimasukkan ke bahagian tengah untuk dipasang.

    Bahagian bawah tali ini pula hendaklah dipasang melintang merentangi bahagian bawah rahim.

    Masalah kedua berkaitan kehamilan adalah kekurangan air di dalam tubuh yang boleh menyebabkan keletihan. Masalah lebih serius adalah penyakit pembentukan darah beku di dalam salur darah yang dinamakan trombosis vena dalaman.

    Kehadiran darah beku ini boleh membahayakan nyawa ibu apabila ia menyumbat salur darah bahagian paru-paru. Risiko ini berlaku tidak kira sama ada awal kehamilan mahupun akhir kehamilan.

    Penting untuk wanita menjaga kandungan air di dalam badannya dengan meminum air yang mencukupi untuk menampung kehilangan air dari badan yang berlaku dalam pelbagai cara seperti berpeluh dan membuang air.

    Tanda awal adalah kesakitan dan bengkak bahagian betis. Anda juga dinasihatkan menggerakkan kedua kaki anda, ini lebih mudah dilakukan secara berjalan iaitu hendaklah keluar dari kereta di kawasan berhenti rehat untuk melakukan senaman kaki secara ringan bagi memudahkan perjalanan atau aliran darah.

    Kesan jahitan pada alat kelamin membengkak

    PAKAT SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat

    SAYA kini berusia 20 tahun dan hamil anak kedua. Masalahnya, kemaluan saya sering kemerahan dan gatal menyebabkan kesan jahitan anak pertama dulu timbul serta membengkak. Apakah punca kemerahan dan kegatalan itu?

    NURUL,
    Bachok, Kelantan.

    KEGATALAN, kemerahan dan bengkak boleh menjadi tanda radang setempat atau sistemik yang mungkin disebabkan oleh jangkitan, penyakit dalaman, alahan bahan tertentu dan seumpamanya.

    Pemeriksaan doktor boleh membantu mengenal pasti puncanya. Lelehan yang keluar pula boleh diambil sampelnya dan dihantar untuk ujian makmal.

    Sukar hamil kali kedua

    PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat

    SAYA berusia 23 tahun dan sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga serta mempunyai seorang cahaya mata. Dulu saya mengamalkan perancangan keluarga menerusi suntikan.

    Tetapi saya sudah pun berhenti mengambil suntikan terbabit selama dua tahun. Saya ingin menimang cahaya mata cuma masih belum berhasil.

    Adakah ia disebabkan pengambilan suntikan yang banyak sebelum ini? Apakah yang harus saya lakukan?

    CONNIE,
    Kuala Kurau, Perak

    SUNTIKAN pencegah kehamilan mengandungi hormon progestin yang disuntik ke dalam otot yang bertindak sebagai tempat simpanan (depo) dan kemudian hormon ini dikeluarkan sedikit demi sedikit ke dalam aliran darah.

    Kesan hormon progestin ini menyerupai hormon progesteron yang ada dihasilkan oleh badan. Ia bertindak secara:

    " Menghalang pengeluaran telur (ovulasi).

    "Menjadikan lendir pintu rahim pekat dan ini menyukarkan perjalanan sperma dari faraj ke dalam ruang rahim.

    " Menyebabkan penipisan lapisan haid (endometrium) rahim sehingga menjadi tidak sesuai untuk perlekatan janin.

    Melalui perkiraan, saya andaikan anda hanya mengambil suntikan ini untuk tempoh yang pendek saja memandangkan anda sudah pun dua tahun berhenti mengambilnya dan perkahwinan baru saja berusia tiga tahun dengan dikurniakan seorang anak.

    Suntikan lazimnya diambil setiap lapan minggu (jenis mengandungi hormon norethisteron) atau 12 minggu (jenis mengandungi hormon DMPA depo medroxy-progesterone). Berkemungkinan suntikan bukanlah penyebab masalah kesuburan anda.

    Bagaimanapun, memandangkan suntikan ini menyebabkan ketiadaan ovulasi, anda boleh memastikan sama ada anda mempunyai masalah ini melalui ujian darah paras hormon progesteron yang diambil pada sekitar seminggu sebelum haid berikut dijangka keluar.

    Sekiranya keputusan menunjukkan anda mengalami ovulasi, berkemungkinan besar suntikan bukanlah punca masalah kesuburan anda.

    Berjumpalah doktor untuk pemeriksaan kesuburan dan rawatan bersesuaian. Usia anda yang masih muda memberi harapan tinggi untuk peluang rawatan berjaya.

    Ini kerana pertambahan usia wanita memberi kesan negatif kepada kualiti telur yang dikeluarkan. Usah menunggu lebih lama.

    Darah masih keluar selepas 40 hari keguguran

    PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat

    SAYA berumur 29 tahun dan mengalami keguguran setelah 16 minggu hamil. Selepas 40 hari keguguran, darah masih keluar.

    Waktu keguguran itu, bayi saya keluar dengan sendirinya dan selepas itu saya dimasukkan ke hospital untuk mengeluarkan tembuninya.

    Masalahnya kini, darah itu masih keluar sedikit demi sedikit tetapi tidak berbau. Saya inginkan kepastian sama ada ia sesuatu yang normal atau mungkinkah saya menghadapi sebarang komplikasi?

    SITI,
    Kuantan, Pahang

    ANDA dinasihatkan berjumpa semula doktor anda untuk pemeriksaan mengesan kemungkinan anda mengalami jangkitan lapisan dalaman rahim (endometritis), antibiotik dijangka dapat merawat keadaan ini.

    Kemungkinan sisa kandungan masih tidak keluar sepenuhnya lazimnya jarang memandangkan sudah lebih sebulan anda keguguran, namun ia masih boleh berlaku.

    Pemeriksaan fizikal dan ultra bunyi dapat mengesan masalah yang dialami. Kemungkinan penyakit kandungan partial molar juga perlu diberi perhatian. Berjumpalah doktor untuk pemeriksaan.

    Belum hamil lepas keluar IUD


    PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat


    Soalan:

    SAYA berusia 25 tahun dan mempunyai seorang anak berusia empat tahun. Sebelum ini saya pernah menggunakan alat dalam rahim (IUD) dan kini sudah lima bulan mengeluarkannya tetapi saya masih belum hamil.

    Adakah keadaan itu sesuatu yang normal untuk mereka yang pernah menggunakan IUD?

    SHEN,
    Kuala Lumpur

    Jawapan:

    LAZIMNYA alat dalam rahim (IUD) yang digunakan untuk mencegah kehamilan tidak mengandungi hormon, hanya logam kuprum saja. Ada juga IUD yang mengandungi hormon, ia jauh lebih mahal dan lazimnya digunakan di kalangan wanita yang mempunyai masalah haid.

    Maka, ia sendirinya dijangkakan tidak menyebabkan masalah kesuburan. Namun, IUD diketahui boleh menyebabkan penyakit PID, jangkitan kuman Actinomyces sering dikaitkan dengan kehadiran IUD tetapi bukanlah berkait teknik pemasangannya.

    Jangkitan kuman berkait teknik pemasangan IUD mungkin benar jika jangkitan itu berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu pemasangan terbabit. Selepas tempoh itu, jangkitan PID lazimnya tiada kaitan dengan pemasangan IUD.

    Anda boleh berjumpa doktor untuk pemeriksaan awal berkaitan kesuburan. Suami juga digalakkan menjalani ujian air mani, terutama jika dia merokok.

    Anda juga boleh memilih untuk menunggu sehingga cukup setahun mencuba sebelum mula menjalani pemeriksaan atau lebih awal sekiranya anda mempunyai simptom yang mungkin berkait dengan masalah kesuburan seperti gangguan kitaran haid, lelehan faraj berbau dan berulang serta sakit bahagian ari-ari.