Selasa, 13 Mei 2008

Wanita kahwin lewat ingin hamil

PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat

Soalan

SAYA berusia lingkungan 40-an dan agak lewat bertemu jodoh. Kini sudah lima bulan saya berumah tangga. Bolehkah saya mendapat zuriat pada usia sebegini?


Haid saya datang setiap bulan cuma ada kalanya awal dan ada kalanya lewat. Setiap kali didatangi haid, saya mengalami sakit perut di sebelah kiri dan keluar semacam ketulan tetapi kesakitan hilang selepas dua hari.

Saya juga mual dan asyik muntah air yang dialami setiap bulan. Adakah keadaan ini juga menjejaskan peluang saya untuk hamil?

SU
Linggi, Negeri Sembilan.

Jawapan

SEELOKNYA, anda dan suami berjumpa pakar sakit puan untuk membincangkan beberapa perkara dengan lanjut seperti risiko mengalami keguguran serta risiko ketidaknormalan kromosom anak mengakibatkan keguguran, kematian dalam kandungan, atau kelahiran anak dengan sindrom tertentu.

Selain itu, perkara lain termasuk risiko masalah sewaktu hamil seperti penyakit darah tinggi, kencing manis, uri bawah dan seumpamanya serta kemungkinan kaitan senggugut dan ketulan yang dirasai dengan kesukaran hamil.

Setelah betul-betul memahami risiko dan jika masih berhasrat untuk hamil serta bersedia menghadapinya, terpulanglah pada anda dan suami untuk meneruskan hasrat.

Lebih elok ia dimulakan sekarang daripada menunggu lebih lewat lagi. Namun, sebelum itu, untuk memulakan kehamilan bukanlah mudah. Ini kerana kesuburan wanita sangat dipengaruhi oleh usianya.

Anda mungkin memerlukan teknik bantuan kehamilan tertentu yang lazimnya dimulakan dengan ubat hormon kesuburan sama ada semudah menggunakan pil atau secara suntikan yang jauh lebih mahal. Kaedah permanian berhadas dan persenyawaan tabung uji juga tambah membantu.

Mual dan muntah air yang dialami juga perlu diperiksa, ia tidak sepatutnya berlaku. Selain itu, mulakanlah pengambilan pil asid folik sebanyak 5 miligram setiap hari untuk mengurangkan risiko kecacatan otak dan saraf tunjang bayi.

Suami juga dinasihatkan menjalani ujian air mani. Walaupun peluang kehamilan rendah berbanding wanita yang berusia kurang 40 tahun, siapa tahu anda mungkin termasuk dalam lima peratus kumpulan yang berjaya hamil. Selamat mencuba.