Rabu, 4 Jun 2008

Hernia punca sakit

DOKTOR SAKIT TUAN
bersama Dr.Ismail Thamby

Soalan

SAYA berusia 20 tahun dan rajin bersukan, tetapi setahun lalu saya didapati menghidap penyakit hernia dan meneruskan bersukan. Ereksi yang saya alami masih normal, tetapi akhir-akhir ini saya sering sakit perut dan sering keluar cairan jernih dari zakar ketika sakit.

ANDHIKA
Bandar Lampung, Indonesia

Jawapan

Penyakit hernia untuk lelaki yang paling biasa ialah kemasukan usus dalam kerandut buah zakar dan hernia ini dikenali sebagai ‘Inguinal hernia’.

Usus termasuk kerana ada pembukaan antara perut dan kerandut. Biasanya memang tiada apa apa permukaan sebegitu kerana kedua-dua tempat itu berasingan.

Oleh kerana ada satu gulungan usus masuk ke dalam kerandut, lama-kelamaan lebih banyak gulungan usus masuk dan menjadikan kerandut buah zakar kelihatan padat dan membesar sehingga buah zakar tertolak di belakang dan kelihatan terbenam.

Sudah tentu keadaan ini mengancam hubungan kelamin. Apa yang mustahak ialah gumpalan usus masuk ke dalam kerandut itu perlu dimasukkan semula ke dalam perut dan pembukaan yang tidak normal itu ditutup.

Cara paling berkesan ialah menjalani pembedahan pemulihan, bukan menggunakan alat penahan atau mengurut kerana kedua-dua ini boleh memudaratkan kesihatan lelaki itu jika usus terpulas dalam kerandut.

Jangan biarkan hernia begitu saja kerana lambat laun ia menjadi besar dan berkemungkinan terkandas di dalam kerandut. Cepat jumpa doktor untuk menjalani pembedahan pemulihan.