Rabu, 4 Jun 2008

Enggan kongsi kasih

ANDA MUSYKIL DR.MASHITAH JAWAB
bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim,
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri

Soalan

SAYA wanita berusia 50 tahun, berkahwin pada 1981 dan ada lima anak — tiga bekerja dan dua bersekolah. Walaupun suami mengabaikan tanggungjawabnya, kami mampu hidup sederhana dengan pendapatan saya sebagai pencuci tandas untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Awal bulan lalu saya menerima berita mengejutkan, iaitu suami berkahwin lagi satu dengan wanita dari seberang. Apabila saya bertanya, dia mengaku dan meminta maaf. Pada saat itu juga, cinta dan kasih yang dibina selama 27 tahun musnah sekelip mata.

Walaupun saya memaafkan suami, hati saya sudah tertutup untuk hidup bersamanya lagi. Segala pengorbanan selama ini terasa sia-sia dan dibalas dengan memberi seorang madu.

Saya menyuruh suami membuat pilihan kerana saya tidak sanggup berkongsi kasih. Lagi pun, dia tidak mampu menanggung dua isteri dengan pendapatannya yang hanya RM800 sebulan.

Saya tidak mahu nanti akhirnya saya pula terpaksa memberi wang padanya, sedangkan pendapatan saya hanya cukup untuk menyekolahkan anak dan makan pakai secara sederhana. Apa perlu saya lakukan?

B
Pulau Pinang

Jawapan

Islam mengharuskan poligami berlandaskan keperluan fitrah dan kehendak hidup. Bagaimanapun, bagi menjamin berlakunya keadilan, Islam menetapkan syarat seperti adil dan tiada kemudaratan dalam perkahwinan itu.

Dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia, poligami dibenarkan dengan syarat suami hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah terlebih dulu.

Ini diperuntukkan dalam seksyen 23(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah akan menimbang sama ada suami layak berpoligami berdasarkan patut, perlu dan mampu menanggung serta adil dan tidak membawa kemudaratan. Dalam hal ini, puan boleh membawa ke muka pengadilan untuk ditentukan mahkamah. Jika tidak, puan boleh berbincang secara baik dengan suami supaya dapat dilepaskan secara baik.