Rabu, 4 Jun 2008

Musykil sifilis

DOKTOR SAKIT TUAN
bersama Dr.Ismail Thamby

Soalan

BOLEHKAH penyakit kelamin seperti sifilis dirawat dan diubati? Adakah krim sapu untuk mengelak jangkitan kelamin.

BARI
Seri Kembangan
Selangor

Jawapan

Apabila kita bincang mengenai penyakit kelamin atau STD, kita perlu tahu penyakit itu dijangkiti daripada pasangan pembawa gejala penyakit akibat hubungan seksual.

Kadangkala pembawa jangkitan tidak sedar dia ada penyakit itu kerana tiada kesan padanya, tetapi apabila penerima terkena jangkitan, dia cepat mengalami kesan jangkitan dan masalah itu hanya diketahui apabila dirujuk kepada doktor.

STD yang biasa menjadi tanda tanya ialah sifilis dan jangkitan itu berlaku akibat kuman spiroketa atau kuman berbentuk seperti spiral dan ia hanya dapat dilihat melalui mikroskop pandang gelap.

Jangkitan bermula dengan kudis berdekatan anggota sulit dan membesar, keras tapi tidak sakit jika dipicit. Kudis itu boleh pulih tanpa berbuat apa-apa, tetapi kuman mula masuk ke dalam darah.

Jika jangkitan ketara, individu itu boleh kena jangkitan pada urat saraf dan kulit. Pengambilan ubat antibiotik yang biasa dimakan untuk penyakit biasa boleh mengawal jangkitan sifilis, tapi ia masih ada dalam darah dan boleh disebarkan jika melakukan hubungan seksual.

Cara mengesan sifilis ialah dengan ujian darah. Apabila ujian awal itu positif, ujian lebih spesifik dilakukan sebelum individu perlu menjalani rawatan dengan antibiotik yang sensitif kepada kuman itu.

Selepas mendapat rawatan sewajarnya, dalam tempoh sebulan, tahap jangkitan didapati menurun; menandakan ia terkawal.

Cara paling berkesan untuk mencegah jangkitan penyakit kelamin ialah mengelak seks rambang. Kondom adalah sesuai, tapi adakalanya ia boleh bocor, terkoyak atau terlepas. Menyapu krim antibiotik tidak berkesan jika tahap antibiotik kurang.

Menyapu krim antibiotik atau ubat antiseptik sebelum bersetubuh adalah sia-sia.

Jika anda rasa anda mungkin terdedah kepada penyakit STD, elok jumpa doktor keluarga anda dan ujian darah adalah cara paling berkesan.

Jika ujian negatif, pemeriksaan susulan perlu dilakukan enam minggu kemudian tanpa melakukan seks rambang ketika menunggu untuk ujian susulan.