Khamis, 12 Jun 2008

BADAN MEMBESAR MACAM BERUANG

KISAH BENAR OLEH: UMIE SRIMAS
Wanita pertama menjadi Pakar Urut Tenaga Batin Untuk Lelaki

Bukan setakat baikpulih zakar, tetapi dalam masa yang sama Umee juga pernah merawat beberapa pesakit misteri yang datang ke kliniknya. Walaupun bidangnya hanya tertumpu pada urutan, namun sekiranya diminta merawat pesakit yang menderita penyakit misteri... dia tak pernah menolak.

Antara kes paling rumit yang pernah dikendalikannya ialah membabitkan seorang lelaki bernama Jalil (bukan nama sebenar) berusia 51 tahun dari Langkawi, Kedah. Sejak mula Jalil datang ke pusat rawatannya, Umee seperti dapat merasa ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki itu.

Difahamkan, sebelum ini tubuh Jalil telah dimasuki makhluk halus ketika dia jatuh dari motosikal di sebuah kawasan kuil. Sejak hari itu, dia begitu sukar untuk bergerak kerana merasakan ada sesuatu yang bergayut di tubuhnya.




"Sakit apa ni?" Soal Umee pada Jalil. Dia pura-pura tidak tahu yang Jalil mempunyai masalah lain membabitkan makhluk halus.

"Saya minta Puan Umee cuba rawatkan penyakit misteri saya ni. Sebenarnya, tubuh saya ni seperti dikuasai oleh makhluk jahat yang kadangkala membuat saya lupa diri seketika.

Manakala dikalangan keluarga pula, mereka mendakwa melihat tubuh saya membesar seperti beruang. Jadi sebelum berlakunya sesuatu yang tidak dingini, lebih baik 'benda' yang melekat di tubuh saya ini dibuang," jawab Jalil dengan nada serius. Mukanya kelihatan pucat manakala matanya sedikit cengkung seolah-olah tidak cukup tidur.

"Umee ni hanya beri tumpuan pada urut-mengurut sahaja. Penyakit lain seperti penyakit misteri Umee tak boleh jamin sembuh sebab Umee ni bukannya bomoh," terang Umee.

"Tapi saya pernah dengar Umee berjaya sembuhkan beberapa pesakit misteri sebelum ini?" Soal Jalil.

"Memang betul, tapi itu secara kebetulan sahaja. Ilmu yang Umee ada ni bukan untuk rawat penyakit seperti lain, tapi untuk urut-mengurut. Bagaimanapun, kalau awak tetap berkeras nak Umee rawatkan penyakit awak itu, Umee akan cuba sedaya upaya," jelasnya.

Kemudian, sebaik dipegangnya sahaja tangan Jalil, tubuh Umee jadi menggigil yang amat sangat. Dirasa ada satu kuasa jahat yang mencengkam lelaki itu dari dalam.

Lebih menyeramkan, tiba-tiba sahaja badan Jalil bertambah besar hingga menyamai seekor beruang. Bukan itu sahaja, dia kemudian bertindak ganas dengan memecahkan beberapa buah meja dan alatan lain yang terdapat di situ.

"Siapa kau..? Mengapa kau aniaya orang ini?" Tanya Umee seolah-olah sedang bercakap dengan makhluk tersebut.

"Sial... kau jangan masuk campur urusan aku!!! Kalau kau degil, aku akan tamatkan riwayat kau nanti," tempik satu suara dari dalam tubuh Jalil. Nafas Jalil pula kelihatan turun naik seolah-olah terlalu marah dengan tindakan Umee memegang tangannya.

Melihat keadaan genting tersebut, Umee pantas menepuk belakang Jalil sambil membacakan ayat suci Al-Quran. Bila ditepuk sahaja, makhluk yang melekat di tubuh Jalil terus melompat keluar menjadikan keadaan sekeliling hingar-bingar dengan jeritan.

Sejurus itu juga, kelihatan satu lembaga hitam di situ dan sepantas kilat ia terus menerkam Umee dan mencekiknya dengan kuat. Umee yang terkejut dengan apa yang dialaminya itu tidak mudah panik, sebaliknya pantas melaungkan azan dengan suara tersekat-sekat.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, terdengar satu lagi jeritan memanjang yang amat menyeramkan. Makhluk tersebut kemudian menghilangkan diri di sebalik kegelapan malam.

Manakala Jalil yang sedari tadi kelihatan seperti seekor beruang, terus pengsan tak sedarkan diri. Umee kemudian mengurut dadanya berulangkali sampai dia sedar kembali. Selepas itu, Jalil diberi minum air ubat dan mandi air limau yang telah dijampi bagi membersihkan diri.

"Alhamdulillah... tubuh saya dah kembali ringan semula," kata Jalil selepas merasa tubuhnya makin bertenaga.

"Awak sembuh ni sebenarnya bukan disebabkan Umee ni bagus sangat, tetapi mungkin disebabkan yang kita ni ada 'jodoh'. Bukan apa, kalau pesakit dan orang yang merawatnya tiada jodoh, maka selama manapun dia dirawat pasti tidak akan sembuh sepenuhnya," ujar Umee merendah diri.

.
.