Memang, kecantikan satu anugerah dan ia sesuatu yang sangat subjektif. Cantik pada wajah tidak bermakna cantik pada perlakuan, begitu juga sebaliknya.
Namun, ramai memilih kecantikan wajah berbanding budi pekerti. Apakah ia berbaloi?
Dua mahasiswa dari Universiti Malaya berkongsi pendapat mereka.
Bagi Nur Syuhada Sible, dia menganggap lumrah seseorang tertarik kepada kecantikan wajah biarpun ada kalanya perangai ‘si cantik’ buruk dan menyakitkan mata.
Menurutnya, pandangan mata seseorang berbeza, begitu juga cita rasa menyebabkan sebahagian besar menganggap kecantikan hanya pada wajah semata-mata.
“Setiap orang mempunyai cita rasa berbeza, namun ramai memandang paras rupa.
“Ada juga tidak kisah mengenai perangai kerana definisi kecantikan pada setiap orang berbeza,” katanya.
Kenyataan anda seolah-olah menganggap seseorang berwajah cantik buruk perangainya?
Ada juga berwajah cantik tetapi tetap mempunyai budi bahasa elok. Begitu juga yang kurang cantik, perangai ada menyakitkan mata.
“Bukan itu maksud saya tetapi hakikatnya memang segelintirnya begitu. Mereka yang cantik ini mungkin megah dan bangga dengan wajah jelita hingga menjadi riak atau sombong. Perangai pula mengada-ngada.
“Ada pula sebaliknya, wajah dan budi bahasa cantik hingga senang didampingi orang lain. Sepertimana dikatakan tadi, terpulanglah pada cita rasa seseorang.
“Penilaian masyarakat tidak boleh dikongkong, masing-masing ada pendapat sendiri, yang penting masing-masing bebas membuat penilaian,” kata Nur Syuhada.
Anda bersetuju kenyataan ramai pihak bahawa kecantikan bersifat subjektif?
“Setuju kerana cantik itu bukan hanya terletak pada wajah. Ada orang wajahnya sederhana namun disukai ramai kerana budi bahasanya. Justeru, saya kurang bersetuju jika cantik dirujuk pada muka semata-mata.
“Banyak lagi boleh dilihat dan dijadikan ukuran. Apapun, saya tetap bersyukur dikurniakan wajah ini, yang penting tiada cacat celanya,” kata Kartini Sadali.
Pendapat anda mengenai sikap obsesi terutama golongan wanita terhadap penjagaan kecantikan?
“Ada kalanya menakutkan. Sebagai wanita, saya sangat mementingkan penjagaan wajah tetapi cukup sekadar penjagaan asas seperti mencuci, melembap dan dan merawat muka.
“Hendak cantik pun bukan sampai melakukan suntikan atau pembedahan. Namun segelintir wanita sanggup mengambil risiko,” kata Nur Syuhada.
Kenapa wujud golongan yang sanggup berhabis-habisan untuk kelihatan cantik?
“Mungkin kerana mahu mewujudkan keyakinan diri, mudah memperolehi kawan atau demi kerjaya. Kebanyakan syarikat terutama membabitkan bidang penyiaran dan komunikasi sangat mementingkan penampilan diri.
“Bagi yang berminat, kecantikan wajah dan tubuh bagaikan satu aset.
“Bukan semua bertuah mempunyai wajah menawan, jika dikurniakan, jaga dengan baik, bagi yang kurang bernasib baik, cari alternatif untuk memperolehi wajah dan tubuh idaman,” katanya.
Anda bersetuju dengan kenyataan rakan anda itu?
“Kurang bersetuju kerana bakat dan keupayaan seseorang tidak boleh dinilai melalui wajah. Biarpun ada majikan yang suka dengan pekerja berwajah cantik, ada juga tidak kisah kerana terpulang kepada bidang kerja masing-masing.
“Sesetengah majikan lebih mementingkan keupayaan dan kepandaian bakal pekerjanya, bijak berkomunikasi dan menyesuaikan diri.
“Bukankah itu lebih penting daripada hanya bermodal wajah cantik tapi tidak pandai buat kerja,” kata Kartini.
Masyarakat hanya melihat mereka yang berwajah cantik ini sentiasa gembira namun pada pendapat anda, benarkah mereka ini sentiasa gembira?
“Tidak juga kerana banyak aspek perlu diberi perhatian; penjagaan wajah, pemakaian dan tubuh badan. Makan kena jaga dan perlu berpantang.
“Bukan semua boleh mengikutinya, justeru janganlah terlalu rasa rendah diri kalau diri kurang cantik. Setiap ciptaan Tuhan ada kelebihan.
“Segala perbuatan perlu sederhana dan berpijak pada bumi nyata,” kata Nur Syuhada.
Bagaimana pula dengan golongan lelaki, adakah anda berpendapat mereka juga semakin peka terhadap aspek penjagaan kecantikan?
“Saya bersetuju kebanyakan golongan lelaki hari ini turut sama mengambil berat mengenai aspek kecantikan, tapi tidaklah terlalu obses seperti wanita.
“Mereka mungkin hanya menitik beratkan penjagaan wajah, tubuh serta penampilan tapi jarang kedengaran ada yang sanggup mengubah wajah demi kelihatan ‘macho’.
“Dengan gaya hidup moden serta pertumbuhan salon dan pusat rawatan kecantikan, ada lelaki masa kini yang sedar dan mengambil berat mengenai kecantikan,” kata Kartini.
Ada saranan untuk rakan sebaya mengenai isu ini?
“Bersyukurlah atas apa saja kurniaan yang diberikan Tuhan. Sama ada cantik atau tidak, bukan jaminan untuk hidup gembira,” kata Nur Syuhada.