Khamis, 22 Mei 2008

Hargai masa cuti anak

BAWA anak ke kompleks beli-belah pada musim cuti sekolah bukan bermakna mengajar mereka membeli-belah semata-mata. Tetapi menggalakkan mereka menyertai pertandingan melukis, mewarna atau mencipta sesuatu di pusat beli-belah berkenaan bagi mencungkil bakat besar anak-anak.

“Cuti sekolah menguji kebolehan mereka dan mendorong mencapai kecemerlangan,” kata pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Nik Salida Suhaila Nik Salleh, mengulas cara terbaik memenuhi masa lapang anak waktu cuti sekolah.

Menurutnya, beriadah masa cuti sekolah antara aktiviti terbaik yang boleh dilakukan kebanyakan ibu bapa. Disebabkan kesibukan ibu bapa dengan rutin kerja harian, pengisian terbaik waktu cuti sekolah adalah dengan memanfaatkan masa senggang menerusi aktiviti berfaedah.

“Masa berkualiti harus direbut terutama bagi ibu bapa yang masing-masing bekerja. Bagi yang mampu mungkin boleh membawa anak-anak ke luar negara. Tapi bagi yang kurang mampu, mereka boleh membawa anak-anak mengenali negara sendiri melawat destinasi menarik dengan kos lebih murah.

“Ibu bapa juga boleh mengajak anak-anak bermain badminton bersama-sama. Jika membawa anak-anak ke pantai misalnya, anda boleh mengajak anak-anak bermain bola sepak pantai sebagai satu aktiviti sihat. Ini akan lebih mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga,” katanya.

Dia yang juga penceramah bebas menyarankan ibu bapa membawa anak-anak mengunjungi keluarga datuk mahupun nenek di kampung kerana cara itu mampu mengukuhkan institusi kekeluargaan.

“Jika anak-anak tak dibiasakan sejak kecil, rasa saling hormat antara cucu dengan datuk dan nenek mereka akan mengendur. Justeru, ia perlu terus disuburkan ketika cuti persekolahan.

“Anak-anak juga akan memanfaatkan cuti yang menggembirakan di samping meraih banyak pengalaman berguna,” katanya.

Lawatan ke tempat bersejarah seperti Muzium Negara, Muzium Kesenian Islam, Pusat Sains Negara dan Planetarium Negara juga boleh dijadikan sumber didikan bermakna dalam proses pembesaran anak-anak.

“Ia boleh mendedahkan anak-anak dengan ilmu pengetahuan. Secara tidak langsung apabila ada sukatan pelajaran berkaitan di sekolah, anak-anak ada pendedahan sejak awal.

“Banyak perkara boleh dilakukan ibu bapa jika mereka bijak merancang masa. Cadangan membawa anak-anak ke tempat kerja ibu bapa (sesuaikan dengan keadaan) secara tak langsung mendedahkan anak-anak kepada bidang tugas ibu bapa mereka,” katanya.

Nik Salida Suhaila turut mencadangkan ibu bapa membawa anak-anak menaiki pengangkutan awam seperti kereta api, aliran transit ringan, komuter, bas mahupun teksi jika berpeluang berbuat demikian.

Untuk mengelak pembaziran masa, anak-anak juga boleh diajar mendalami al-Quran dengan lebih kerap untuk memantapkan bacaan mereka.

“Mungkin masa bersekolah, mereka tidak cukup masa untuk mempelajari selok-belok al-Quran secara mendalam misalnya mempelajari cara berlagu atau tarrannum. Ia amat sesuai dipelajari secara mendalam ketika cuti sekolah sekali gus memantapkan pengetahuan mereka.

“Jangan paksa anak-anak belajar 12 jam waktu cuti sekolah sepertimana di sekolah kerana ia boleh membosankan mereka. Jika terlalu tegas, anak-anak akan tertekan dengan cara kita mendidik.

“Cara ibu bapa biarlah lebih berhemah, penuh kasih sayang dan prihatin kerana sikap memaksa tak menghasilkan sesuatu yang terbaik.

“Jika cuti sekolah mampu dimanfaatkan sebaik mungkin, barangkali cuti sekolah yang bakal menjelang ini lebih bermakna buat seisi keluarga,” katanya.

Luang lebih masa bersama anak

ADA yang bertanya mengapa wujudnya istilah 'jiwa kosong' dalam diri anak? Apakah ibu bapa terlalu menumpukan perhatian mengejar kebendaan sehingga mengabaikan anak?

Ada pihak menyalahkan bapa yang terlalu tegas atau garang sehingga anak tiada masa menikmati zaman kanak-kanak.

Bagi ibu bapa bekerja, mereka hanya mempunyai lima hingga 10 minit berkomunikasi dengan anak. Bakinya, apabila ibu bapa pulang ke rumah, anak masuk ke bilik masing-masing.

Anak pula terperap di bilik dan tidak berlaku proses komunikasi antara ayah dengan anak. Ini menyebabkan hubungan antara anak dengan ibu bapa semakin renggang.

Apabila kemesraan tiada, senang bagi anak mencari rakan sebaya di luar sehingga mengundang pelbagai masalah lain.

Perunding motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, berkata apabila ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya, anak akan mencari jalan keluar mengisi kesepian bertemu rakan atau mencari hiburan lain menghilangkan kebosanan.

"Corak pembelajaran hari ini yang terlalu menekankan kejayaan akademik menyebabkan ibu bapa terpaksa mencatur kehidupan anak dengan rutin harian yang membebankan.

"Di sekolah, mereka belajar hingga lewat petang di samping menyiapkan kerja sekolah yang banyak.

"Anak juga terbabit dengan kegiatan kokurikulum menyebabkan mereka tiada masa menikmati zaman kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata, ada ibu mungkin berkata pada anak sulung dan adiknya: "Abang, emak tak nak kamu balik lambat. Kakak, emak tak mahu tengok kamu asyik bergayut di telefon."

"Itu bukan komunikasi tetapi lebih kepada arahan, syarahan atau sindiran. Ibu bapa harus menilai semula apa itu komunikasi.

"Proses komunikasi gagal kerana ramai yang tidak memahami konsep itu. Apabila anak meluahkan perasaan, ibu bapa sepatutnya menjadi pendengar yang baik," katanya.

Kebanyakan anak pula memerlukan ibu bapa ketika mereka menghadapi masalah manakala pada saat gembira, mereka lupa ibu bapa. Fenomena berkenaan proses biasa dalam perkembangan diri anak.

Bahkan katanya, ada kalanya ibu bapa diuji dengan kerenah dan kepelbagaian tingkah laku anak yang kadangkala memeningkan kepala.

"Mungkin Allah mahu menyedarkan kita yang sudah lama tidak 'mendekati-Nya'.

"Kalau sebelum ini solat pun jarang-jarang, kini ibu bapa kena lebih bermuhasabah diri. Sebagai manusia biasa, ujian ini boleh meningkatkan tahap keimanan diri.

"Nabi Noh diuji Allah dengan keingkaran anak dan isterinya yang tidak mahu mengikutinya menaiki bahtera apatah lagi kita manusia biasa," katanya.

Dr Tengku Asmadi menyarankan anak sentiasa dibekalkan dengan motivasi dalam membentuk sahsiah diri yang sempurna di samping jati diri yang kuat supaya jiwa mereka tidak rapuh.

Ibu bapa jangan terlalu menekankan anak untuk menjadi yang terbaik atau cemerlang jika tahap pencapaian mereka tidak sehebat mana.

"Timbul masalah apabila ibu bapa terlalu teruja untuk melihat anak jadi cemerlang, ia memberi kesan yang tidak baik pada mereka.

"Jika tahu tahap kemampuan anak amat rendah, alihkan minatnya ke arah lain supaya mereka turut diberi peluang membina keyakinan diri.

"Ertinya, jika anak tidak cemerlang dari sudut akademik, dia masih boleh berjaya dalam aspek lain. Sikap mendesak merugikan masa depan mereka kerana bukan semua anak mempunyai kecerdasan yang tinggi," katanya.

Kajian Universiti California, Amerika Syarikat mendapati ibu bapa yang mempunyai masa lebih banyak dengan anak akan membuatkan anak-anak lebih banyak melakar kecemerlangan.

"Ia berbeza dengan mereka yang tiada masa bersama anak. Anak lebih terjebak dalam gejala sosial, kemerosotan dalam pelajaran di samping terbabit dengan aktiviti kurang sihat," katanya.

Beliau mencadangkan ibu bapa menjalankan aktiviti bersama seperti bermain boling atau permainan lain yang boleh menggembirakan semua.

"Mereka juga boleh makan malam atau melancong bersama. Ibu bapa juga seharusnya menanam kepercayaan terhadap anak-anak dalam sesetengah perkara. Mungkin itu antara cara mempercepatkan proses kematangan mereka.

"Selain itu, hendaklah mendidik anak mengikut zamannya dan bukan zaman ibu bapa dulu," katanya.

Ajar kenal makanan halal, haram

MAKANAN membentuk darah daging. Kata-kata itu biasa didengari lantas sumber makanan perlu diselidiki supaya diketahui status halal atau haramnya.

Tidak dinafikan makanan adalah keperluan jasmani yang harus dipenuhi. Halal dan baik adalah syarat utama saat menghidang makanan untuk umat Islam.

Justeru, mengetahui makanan halal sangat penting, tidak hanya kepada orang tua yang berkewajipan menyediakan makanan untuk anak-anak, malah anak-anak perlu dididik untuk mengetahui halal haram sesuatu makanan.

Bagaimana mengenalkan makanan halal dan haram kepada anak-anak? Bimbingan berikut boleh dijadikan panduan:

  • Mengenalkan label halal.

  • Perkenalkan makanan yang sudah mendapatkan pengesahan halal, bermula dengan makanan ringan.

    Label bertulisan jawi halal lazimnya ditampal pada dinding premis, namun perlu diperhatikan tarikh yang tercatat pada sijil halal berkenaan.

  • Mengenalkan kandungan makanan.


  • Ajar anak-anak untuk mengamati setiap kandungan makanan yang tertera pada bungkusan atau bekas makanan. Jika di dalamnya mengandungi bahan yang meragukan seperti gelatin, pastikan ia daripada sumber halal.

    Gelatin biasanya ada pada makanan yang lembut dan sedikit kenyal seperti jeli, aiskrim dan puding. Tiga jenis makanan ini termasuk makanan kegemaran anak-anak oleh itu, penting memberitahu mereka mengenai kandungannya supaya anak-anak terdidik untuk berhati-hati sebelum memilih makakan.

  • Memperlihatkan poster barangan haram. Poster antidadah misalnya, boleh dilihat di mana-mana malah di jalan raya.


  • Gunakan saluran itu untuk memperkenalkan kepada anak makanan yang haram seperti kandungan dadah atau alkohol serta pelbagai bahaya akibat makanan haram itu.

  • Menunjukkan makanan yang haram ketika berbelanja.


  • Apabila berbelanja di pasar atau pasar raya bersama anak-anak, tunjukkan pada mereka makanan atau minuman yang tidak seharusnya diambil oleh umat Islam.

    Ibu bapa boleh menunjukkan kepada anak-anak contoh minuman beralkohol yang haram diminum, kebiasaannya dijual di pasar raya besar supaya mereka mulai berwaspada sejak kecil.

  • Mengunjungi pameran produk halal.


  • Jika ada kesempatan, ajak anak-anak mengunjungi pameran produk halal. Di ruang pameran, disajikan makanan dan minuman yang sudah mendapat sijil halal. Anak akan menjadi lebih berpengetahuan, malah menyedari bahawa banyak produk makanan halal yang boleh mereka nikmati.

  • Halal dari segi memperoleh makanan.


  • Penting untuk mendidik anak bahawa makanan yang halal tidak hanya dilihat daripada zatnya saja, tetapi cara memperolehnya.

    Makanan yang zatnya halal, tetapi diperoleh dengan cara haram, tetap menjadi haram.

    Mendidik anak mendapatkan rezeki dengan cara halal juga boleh menyemai nilai dan cara hidup yang baik.

  • Mengenalkan makanan halal melalui kegiatan makan bersama.


  • Makan bersama juga boleh dijadikan cara memperkenalkan makanan halal kepada anak-anak. Tanamkan rasa syukur dengan makanan yang sudah tersedia, sekali gus mendidik mereka mengenai adab makan dan minum.

    Kesilapan ibu bapa didik anak

    PERNAHKAH terfikir bahawa sebagai orang tua, banyak perkara yang anda lakukan salah dalam mendidik anak-anak?

    Pakar motivasi dan psikiatri sering mencari punca mengapa anak-anak menjadi liar, tidak mendengar kata, melawan orang tua dan pelbagai salah laku oleh segelintir anak-anak terhadap kedua ibu bapa mereka.

    Dalam mendidik anak, mungkin cara ibu bapa salah. Dalam proses tumbesarannya, anak-anak pasti melalui pelbagai perkara yang mungkin boleh membuat mereka terdorong melakukan sesuatu di luar jangkaan.

    Apabila melihat kelakuan anak-anak itu, semestinya ia dikaitkan dengan cara didikan ibu bapa.

    Justeru, mari kita selidik kesilapan ibu bapa sehingga menyebabkan kesan negatif anak-anak. Antaranya:

    1. Pemilihan jodoh tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.

    2. Perhubungan suami isteri tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.

    3. Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak.

    4. Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak.

    5. Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disajikan kepada anak-anak.

    6. Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan.

    7. Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan.

    8. Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak.

    9. Kurang melahirkan kasih sayang.

    10. Sering mengeluh di hadapan anak-anak.

    11. Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi dan pulang dari sekolah.

    12. Tidak mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan.

    13. Tidak memberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak.

    14. Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak.

    15. Tidak memprogramkan masa rehat dan riadah anak-anak.

    16. Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca.

    17. Mengizinkan anak-anak menjamah makanan dan minuman yang tidak halal.

    18. Tidak menunjukkan contoh teladan yang baik di hadapan anak-anak.

    19. Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak.

    20. Terdapat jurang komunikasi di antara ibu bapa dengan anak-anak.

    21. Tidak menggunakan bahasa yang betul.

    22. Suka bertengkar di hadapan anak-anak.

    23. Sentiasa menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak.

    24. Tidak membimbing anak-anak supaya mematuhi syariat.

    25. Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak.

    26. Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak.

    27. Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak.

    28. Tidak menunjukkan minat terhadap aktiviti anak-anak.

    29. Tidak memupuk semangat membaca di kalangan anak-anak.

    30. Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak.

    31. Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak.

    32. Lambat memberi penghargaan kepada anak-anak.

    33. Kerap meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan anak-anak.

    34. Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

    35. Sering mengancam dan menakutkan anak-anak.

    36. Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan.

    37. Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman ke atas anak-anak.

    38. Memberi nasihat yang sama kepada anak-anak.

    39. Tidak tegas mendidik anak-anak.

    40. Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama.