Rabu, 4 Jun 2008

Status anak angkat kekal

ANDA MUSYKIL DR.MASHITAH JAWAB
bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim,
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri

Soalan

BEBERAPA tahun lalu saya mengambil seorang anak angkat lelaki. Ketika umurnya tiga tahun, saya menukar nama ibu bapa kandungnya kepada nama ibu dan bapa angkat sekarang (saya dan suami).

Ada orang mengatakan tidak boleh, tetapi ada yang kata boleh jika nama anak berkenaan disambung terus dengan nama bapa angkat tanpa meletakkan bin atau binti (menjadi sebahagian daripada namanya).

Apakah tindakan saya salah? Jika ya, apa harus saya lakukan? Bagaimana dengan solat dan amalan yang saya lakukan selama ini? Adakah dosa saya akan diampunkan Tuhan?

INSAN KEBINGUNGAN
Seremban

Jawapan

Status anak angkat sampai bila-bila tidak akan menjadi anak sendiri. Islam melarang perbuatan menukar nama bapa sendiri kepada nama bapa angkat.

Anak angkat perlu tahu kedudukan dia yang sebenar kerana ia membabitkan soal harta, aurat, wali dan sebagainya.

Jika melakukan kesalahan kerana kejahilan mengenai hukumnya sebelumnya segera memohon ampun dan membetulkan keadaan. Insya-Allah, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Cari orang yang terbaik untuk susukan anak

ANDA MUSYKIL DR.MASHITAH JAWAB
bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim,
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri

Soalan

BOLEH Datuk terangkan mengenai anak susuan? Adakah ahli keluarga terdekat seperti kakak (yang sudah berkahwin) boleh menyusukan adik sendiri, terutama apabila ibu menghidap penyakit? Bilakah penyusuan ini (contohnya antara kakak dengan adik) perlu dihentikan? Adakah ia terhad kepada beberapa penyusuan saja?

ZIY
Johor Bahru, Johor

Jawapan

Susu ibu yang terbaik diberikan pada anak. Oleh itu bonda Rasulullah SAW menghantar baginda kepada Halimah Saadiah untuk disusukan. Carilah orang yang akhlaknya baik untuk menyusukan anak kerana ia mempengaruhi akhlak anak berkenaan. Jika kakak boleh bantu, tidak menjadi masalah untuk dia berbuat demikian. Penyusuan sehingga lima kali kenyang akan menjadikan anak susuan.

Mukadimah zina haram

ANDA MUSYKIL DR.MASHITAH JAWAB
bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim,
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri

Soalan

SAYA berumur 31 tahun dan masih bujang. Awal tahun ini saya berkenalan dengan seorang lelaki dan kini mulai sayang padanya.

Dalam perkenalan ini kami pernah ‘bermesra’, tetapi tidak sampai melakukan ‘perkara’ itu. Setiap kali diajak untuk ‘ringan-ringan’, saya menolak dengan baik.

Saya takut mengenangkan segala kemungkinan yang berlaku jika terus berkawan dengannya. Kini saya mendekatkan diri dengan agama dan berasa sangat berdosa. Sekarang saya berasa lebih tenteram dan tenang.

Yang menghantui saya ialah, adakah Allah akan mengampuni dosa saya? Adakah jodoh saya lambat kerana perbuatan itu? Jika mengikut gerak hati, saya rasa akan bertemu jodoh juga. Bolehkah saya mengikut gerak hati? Bolehkah saya bertemu jodoh dengan orang yang boleh membimbing saya?

Anne
Kuala Lumpur

Jawapan

Zina perbuatan haram dan dosa besar, mukadimah zina dan perbuatan yang boleh menyumbang pada zina juga diharamkan.

Jika sudah melakukan dosa, hendaklah segera memohon ampun dan bertaubat. Hadis Rasulullah SAW menyebut bahawa ‘sebaik-baik orang berdosa ialah yang bertaubat’.

Ertinya, baginda menggalakkan orang yang melakukan kesalahan segera memohon ampun. Jika memohon ampun daripada Allah, kita hendaklah yakin Allah Maha Pengampun dan Maha mengasihani pada hamba-Nya.

Jodoh termasuk sebahagian daripada rezeki Allah. Berdoa pada Allah dan berusaha semoga Allah mempercepatkan jodoh saudari.

Alasan solat jamak, qasar

ANDA MUSYKIL DR.MASHITAH JAWAB
bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim,
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri

Soalan

BARU-BARU ini saya mendengar temubual seorang pensyarah agama di radio. Menurut pensyarah sebuah institusi pengajian Islam itu, umat Islam boleh mengerjakan sembahyang jamak di luar waktu musafir.

Perkara ini turut diamalkan ketika zaman Rasullullah dulu tanpa sebarang sebab tertentu. Malah, ia juga diamalkan beberapa sahabat Rasulullah.

Dalam temuramah itu pensyarah berkenaan berkata, seseorang itu dibolehkan solat jamak dalam keadaan tertentu seperti mesyuarat yang terlalu lama (dari Zuhur hingga Maghrib), peniaga pasar malam (kerana pada Maghrib dan Isyak adalah waktu puncak dan paling ramai pelanggan) atau tuan rumah yang mengadakan kenduri kahwin, asalkan ia tidak dilakukan selalu atau dijadikan kebiasaan.

Bahkan, orang yang pergi ke pesta buku (dengan tujuan mencari ilmu) juga dibenarkan solat jamak walaupun di tempat berkenaan disediakan surau.

Persoalannya, bagi peniaga pasar malam, mereka bukan berniaga hanya sehari dalam seminggu tetapi boleh dikatakan setiap hari di lokasi berbeza. Adakah mereka boleh melakukan jamak setiap hari?

Bahkan pensyarah berkenaan menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa yang membolehkan perkara ini dan kita tidak seharusnya terlalu ‘rigid’ dengan mazhab Syafie saja. Katanya, kita sepatutnya turut mengaplikasikan mazhab lain dalam soal memudahkan solat.

Beliau berkata, ia bukan pendapat sendiri tetapi bersandarkan hadis dan sejarah Islam. Malah, bukan untuk memperlecehkan solat, sebaliknya memudahkan umat Islam menunaikan solat yang secara tidak langsung meningkatkan kesedaran kepentingan solat.Apa pandangan Datuk dalam soal ini? Apakah hadis yang membolehkannya?

Hafidz
Shah Alam, Selangor

Jawapan

Islam agama mudah, tetapi tidak boleh dipermudahkan. Islam memudahkan seseorang itu bersolat dengan menjadikan waktu solat yang panjang iaitu istilahnya ‘muwasak’, bahkan jika tidak mampu kerana uzur dan sebagainya boleh duduk sehingga berbaring.

Bagaimanapun, jangan kita mempermainkan agama dengan mencipta sendiri alasan lain. Alasan yang disebutkan seperti mesyuarat panjang, berniaga dan kenduri bukan alasan yang mengharuskan solat jamak dan qasar.

Rujuk kembali pada asal usul solat ini disyariatkan dan tiada seumpamanya disebutkan.

Dalam masalah ibadat, kita tidak boleh mengubah apa-apa yang disyariatkan. Berbeza dalam hal selain ibadat, masih ada ruang untuk ijtihad.