Rabu, 4 Jun 2008

Bantuan untuk saudara baru

ANDA MUSYKIL DR.MASHITAH JAWAB
bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim,
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri

Soalan

DALAM ruangan Dang Setia Metro Ahad keluaran 30 Mac lalu, saya membaca kisah sedih mengenai seorang mualaf yang kembali ke agama asal selepas menjalani hidup yang penuh seksa, termasuk mendapat layanan buruk masyarakat Islam dan pegawai di jabatan agama.

Dalam suratnya, beliau bercerita mengenai kisah memalukan apabila ada orang kampung mempersoal hasratnya memeluk Islam hanya kerana dia makan daging babi, sedangkan bagi orang bukan Islam tiada halangan untuk makan apa yang diingini.

Malah, saya sedih dan geram membaca aduannya mengenai pegawai jabatan agama menuduh mualaf tidak mahu berusaha, sebaliknya hanya mengharapkan bantuan kewangan.

Saya pernah membaca bahawa saudara baru memang layak dan berhak mendapat bantuan kewangan tanpa mengira status ekonomi mereka sebelum memeluk Islam.

Saya ingin tahu, jika mereka berhak, mengapa perkara seperti itu terjadi? Apakah fungsi sebenar bantuan kewangan itu dan berapa lama ia diberi?

Adakah jabatan agama menentukan tempoh itu atau ia dibuat berdasarkan kedudukan kewangan seseorang saudara baru?

Saya harap masalah ini dapat dijelaskan supaya perkara menyedihkan itu tidak berulang lagi.

ASZ
Kuala Lumpur

Jawapan

Islam agama yang dianuti kerana keindahannya dan kebenarannya. Justeru, tiada paksaan dalam menganutnya.

Seseorang yang ingin memeluk Islam sebaik-baiknya menilai Islam daripada intipatinya, bukan penganutnya kerana tidak dapat dinafikan ada yang tidak baik.

Kereta yang baik tidak boleh dinafikan kebaikannya hanya kerana pemandunya cuai. Saudara baru layak diberi bantuan kerana mereka, termasuk dalam asnaf yang layak menerima bantuan dan zakat.

Selama mana bantuan diberi bergantung pada keadaannya. Namun, kita harap mereka tidak mengambil kesempatan. Umat Islam juga wajib membantu saudara bantu untuk menghayati Islam itu sendiri.

Sukar hafal al-Quran

ANDA MUSYKIL DR.MASHITAH JAWAB
bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim,
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri

Soalan

SAYA berusia 36 tahun, sudah berkahwin dan ada tiga anak. Selepas berumur 30-an, saya dapati agak sukar untuk menghafal surah pendek berbanding ketika bersekolah dulu. Apakah cara terbaik yang membolehkan kita menghafal surah pendek al-Quran dengan lebih baik?

ANA
Johor

Jawapan

Al-Quran adalah kalimah Allah yang penuh mukjizat. Membacanya, menghafal dan memahami untuk melaksanakannya sangat dituntut. Bila usia semakin meningkat, memang sukar untuk menghafal.

Namun jika selalu membaca dan memahami tafsiran serta menjaga makan minum, insya-Allah akan dipermudahkan menghafal al-Quran. Rasulullah SAW pernah menyifatkan al-Quran seperti ‘seekor unta yang akan lepas tali’, ertinya dia mudah hilang atau lepas lari jika tidak dipelihara dengan menghafal dan membaca berulang kali.

Si jahil permain hukum

ANDA MUSYKIL DR.MASHITAH JAWAB
bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim,
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri

Soalan

BANYAK kali saya membaca kenyataan orang yang terbabit dalam dunia hiburan supaya masyarakat tidak mempersoal tindakan mereka bergaya dan berpakaian seksi walaupun tahu ia dilarang dalam agama.

Lebih sedih, ada yang berkata ia (bentuk badan cantik) anugerah Tuhan yang patut dibanggakan dan kerana itu ia seolah-olah menjadi lesen untuk ditunjukkan kepada seluruh masyarakat sementara usia masih muda.

Mungkin mereka tidak sedar teguran masyarakat timbul daripada rasa kurang senang dan kasih sesama manusia, terutama saudara seagama, supaya golongan itu tidak terlalu jauh tersimpang daripada peraturan yang ditetapkan agama.

Ada juga tidak segan silu berkata usah persoalkan isu dan hukum agama dalam tindak tanduk kehidupan dan cara mereka cari makan.
Apa yang dikhuatiri ialah, tindakan ‘public figure’ seperti mereka boleh mempengaruhi golongan muda, terutama yang menjadikan artis sebagai idola. Apa pendapat Datuk dalam perkara ini?

HILL
Kuantan, Pahang

Jawapan

Hadis Rasulullah SAW menyebut: “Barang siapa membuat contoh baik, dia mendapat pahalanya dan juga mendapat pahala orang yang mengikutnya sedikitpun tidak akan dikurangkan, begitulah juga orang yang buat contoh buruk akan mendapat dosa dan menanggung juga dosa orang yang mengikutnya sedikit pun tidak dikurangkan dosa itu.”

Jika menjadi idola dan ikutan, mereka harus berhati-hati supaya tidak sama memikul dosa contoh tidak baik. Yang baik itu jelas dan yang buruk itu juga jelas.

Dengan anugerah akal yang diberi Allah, Nabi Muhammad SAW memberi panduan: “Jangan menjadi pak turut yang mengikut tanpa ilmu. Jika orang membuat baik, ikutlah dan jika orang membuat keburukan, jauhilah.”

Akad jual beli

ANDA MUSYKIL DR.MASHITAH JAWAB
bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim,
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri

Soalan

SAYA membaca bahawa rukun jual beli ada tiga, iaitu ada penjual dan pembeli, barang dan akad. Bagaimanapun kebanyakan orang, termasuk saya, jarang menyebut akad pembelian. Saya ingin tahu, adakah sah urusan jual beli tanpa menyebut akad berkenaan? Adakah barang, terutama barang makanan, halal dimakan jika tidak menyebut akad jual beli?

MAN
Klang

Jawapan

Memang benar jual beli mempunyai tiga rukun yang disebutkan, iaitu penjual dan pembeli yang sihat akal, barang yang harus diniagakan dan ijab kabul. Jual beli hukumnya harus dan ia manifestasi penukaran harta berdasarkan rela dan kesepakatan.

Ijab adalah perkataan penjual untuk melepaskan barangnya dan kabul pula ucapan pembeli tanda menerima. Ijab kabul adalah manifestasi keredaan dan kerelaan kedua-dua pihak. Ia tidak merlukan pernyataan khusus.

Ia mungkin berlaku melalui pernyataan kata-kata atau tulisan atau keredaan kedua-dua pihak. Hadis Rsulullah SAW menyatakan: “Sesungguhnya jual beli itu sah jika suka sama suka.”

Begitu juga hadis lain yang menyebut: “Dua orang yang melakukan jual beli boleh memilih meneruskan jual beli atau tidak jika kedua-duanya belum berpisah daripada tempat akad.” Semua ini menyatakan jual beli adalah sah, halal melalui keredaan kedua-dua pihak.